Tidak setuju pindah kilang: Hassan

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak menyokong kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mahu memindah kilang perindustrian di kawasan berkenaan.

Menurutnya, seharusnya kerajaan negeri mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan sebarang isu pencemaran sungai dan udara yang berlaku di Pasir Gudang, bukan mengambil laluan mudah.

"Janganlah kerana nyamuk seekor, kelambu hendak dibakar. Isu pencemaran sungai dan udara di Pasir Gudang perlu diatasi dengan cara yang bertanggungjawab. Bukan tutup kilang dan pindahkan kilang-kilang itu ke tempat lain.

"Ke mana beratus ribuan rakyat yang bekerja di sana (kilang di Pasir Gudang) kalau kilang-kilang itu dipindahkan?," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hassan berkata, isu tersebut boleh diselesaikan jika kerajaan negeri mahupun Persekutuan melaksanakan kawalan serta pemantauan yang ketat khususnya dalam mencegah operasi kilang tidak mempunyai lesen.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri memantau lebih 60 kilang-kilang kimia berlesen di Pasir Gudang dan mengambil tindakan undang-undang ke atas kilang-kilang berkaitan kimia yang tidak ada lesen.

"Kerajaan negeri mahupun Pusat juga boleh menambah kekuatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, kawalan ke atas sungai dalam kawasan Pasir Gudang juga perlu dipertingkatkan agar ekosistem terbabit tidak mudah menjadi tempat buangan sisa kimia oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peranan pihak berkuasa tempatan melibatkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) juga penting bagi memastikan isu ini tidak lagi berulang.

"Saya harap Pasir Gudang kekal menjadi kawasan perindustrian yang mampan dan lestari. Menteri Besar dan kerajaan Johor telah membuat pengumuman untuk mengisytiharkan Pasir Gudang sebagai bandaraya pada tahun hadapan.

"Jadi kita mesti jadikan Pasir Gudang sebagai bandaraya industri. Oleh itu, saya dengan rasa hormat berharap Menteri Besar Johor batalkan sebarang niat untuk memindahkan kilang-kilang keluar dari Pasir Gudang.

"Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah membawa masuk lebih pelaburan baru untuk bina kilang yang berteknologi tinggi dan tidak mencemar alam sekitar," katanya.