[VIDEO] Lebuhraya Karak sesak akibat kemalangan 9 kenderaan

Sembilan kenderaan berlanggar dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 40 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dipercayai berpunca sebuah treler hilang kawalan dan terbabas sehingga merempuh kenderaan lain, pada pagi Sabtu. - Foto ihsan Polis Bentong
Sembilan kenderaan berlanggar dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 40 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dipercayai berpunca sebuah treler hilang kawalan dan terbabas sehingga merempuh kenderaan lain, pada pagi Sabtu. - Foto ihsan Polis Bentong
A
A
A

BENTONG - Kemalangan membabitkan sembilan kenderaan dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 40 Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak dipercayai berpunca daripada sebuah treler hilang kawalan dan terbabas sehingga merempuh kenderaan lain, pada pagi Sabtu.

Kejadian jam 9.30 pagi itu mengakibatkan kesesakan trafik teruk di laluan terbabit.

Ketua Polis Bentong, Suprintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati treler jenis Volvo itu dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun dari arah Kuala Lumpur gagal dikawal ketika tiba di tempat kejadian.

"Difahamkan pemandu treler itu mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan dan dahi, manakala pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kejadian terbabit melibatkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi dan Toyota Estima; lima kereta jenis Perodua Axia, Perodua Myvi, BMW, Toyota Vios, Proton Saga, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux serta sebuah treler jenis Volvo.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh dipenjarakan dalam tempoh tidak lebih 12 bulan.

Beliau mahu orang ramai yang melihat kejadian itu tampil dan membantu pihak polis untuk membuat siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya menasihati orang ramai yang menggunakan Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan memastikan kenderaan diselenggarakan dengan baik sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!