Op Selamat 20: 2,011 kenderaan terlibat kemalangan hari ke-6

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,011 kenderaan terlibat kemalangan direkodkan pada hari keenam Op Selamat 20 pada Selasa.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,756 kemalangan dilaporkan.

"Pecahan jenis kenderaan paling tinggi terlibat kemalangan ialah kereta iaitu sebanyak 1,388 atau 69 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.

“Ia diikuti motosikal dengan 243 kes iaitu 12.1 peratus, pacuan empat roda (163 atau 8.1 peratus), kenderaan pelbagai guna (137 atau 6.8 peratus) dan lori (36 atau 1.8 peratus)," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi JSPT pada Rabu.

Tambah JSPT, selebihnya membabitkan van (29 atau 1.4 peratus), bas (13 atau 0.6 peratus) dan dua kes iaitu 0.1 peratus melibatkan teksi.

Pada15 April lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani berkata, Op Selamat ke-20 bermula 20 hingga 27 April bertemakan 'Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi' bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

Fokus utama operasi itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

PDRM akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai, selain mengurangkan beban kesesakan.