'Agihan kerusi komponen PN diputuskan sehari dua hari lagi'

Muhyiddin (kanan) mengadakan sidang akhbar sempena Program Muzakarah Pas-Bersatu 2022 pada Sabtu. - Foto Bernama
Muhyiddin (kanan) mengadakan sidang akhbar sempena Program Muzakarah Pas-Bersatu 2022 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Agihan kerusi parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diputuskan sehari dua hari lagi, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN juga akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat sama ada bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor, selain akan memperhalusi calon-calon yang akan mewakili PN pada PRN berkenaan.

"Apa yang penting hasrat kita bertanding adalah untuk mendapatkan sokongan dan mandat rakyat Johor membentuk Kerajaan PN di peringkat negeri,” katanya ketika sidang akhbar sempena Program Muzakarah Pas-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2022 di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Muhyiddin, Pas dan Bersatu akan menyertai PRN Johor sebagai PN dan kesemua parti komponen juga akan menggunakan logo PN pada pilihan raya itu.

Muhyiddin juga berkata, pihaknya akan mengambil maklum mengenai keputusan PRN Melaka sebelum ini untuk menghadapi PRN Johor.

"Kami ambil maklum apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, sudah tentu Johor negeri yang lebih besar, jumlah pengundinya lebih banyak, DUN lebih besar dan kami melihat keputusan Melaka untuk meletakkan strategi yang lebih sesuai,” katanya.

Mengenai muzakarah selama dua hari itu yang bermula pada Jumaat, Muhyiddin berkata,ia merupakan detik bersejarah bagi Pas dan Bersatu yang dapat duduk semeja bagi mengupas banyak perkara mengenai hala tuju PN.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika membacakan resolusi muzakarah berkenaan, Muhyiddin berkata, antara resolusi berkenaan ialah Pas dan Bersatu beriltizam ke arah mewujudkan kestabilan politik dalam negara serta bersetuju mendukung 'prinsip bersama' di atas nilai integriti, kejujuran dan kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

Katanya, Bersatu dan Pas juga bersetuju untuk menuju 'visi dan hala tuju bersama' ke arah mengukuhkan PN, menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

Muhyiddin berkata, Pas dan Bersatu turut bersetuju memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan ummah dan nasional merentasi platform bukan politik berteraskan nilai kepercayaan bersama.

Katanya, Pas dan Bersatu juga menegaskan bahawa sokongan mereka dalam Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi di atas nilai integriti, anti-rasuah dan berkebajikan. - Bernama