JPJ nafi pegawai terlibat sindiket lesen terbang

Zailani
Zailani
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menafikan dakwaan dibuat oleh pemilik satu akaun Twitter berhubung segelintir pegawai tingginya dikatakan terlibat dalam sindiket lesen terbang.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan pemilik akaun Twitter tersebut yang mendakwa pegawai JPJ dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi dalang sindiket berkenaan.

"Pihak JPJ kesal dengan tohmahan tersebut yang secara langsung mencalarkan imej dan reputasi jabatan," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, sindiket itu menawarkan lesen memandu pada kadar harga RM500 bagi kereta dan RM300 untuk motosikal.

"Sindiket menggunakan gambar lesen memandu Malaysia untuk meyakinkan orang ramai membuat pembayaran terus menerusi transaksi dalam talian.

"Setelah pembayaran dibuat, sindiket akan menghilangkan diri," katanya.

Menurut Zailani, siasatan akan dijalankan oleh pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta Cyber Security untuk membanteras sindiket penipuan tersebut.

Katanya, JPJ tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah melibatkan anggota serta pegawai di jabatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"JPJ mewajibkan pengesahan pengenalan diri (ID) penyelia atau pegawai kanan sebelum sebarang transaksi pengeluaran Lesen Memandu (LMM) dilaksanakan.

"Pemantauan dan audit urus niaga dijalankan melalui garis panduan digariskan di bawah ISO 37901 Anti-Bribery Management System (ABMS)," katanya.