FMM minta diberikan tempoh yang sesuai

 Datuk Soh Thian Lai
Datuk Soh Thian Lai
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) merayu agar kerajaan menangguhkan sebarang kenaikan tarif elektrik buat masa ini.

Presidennya, Datuk Soh Thian Lai berkata, penangguhan itu diharap dapat dibuat sehingga kekangan rantaian bekalan global reda dan harga komoditi kembali normal.

Menurutnya, sektor pembuatan yang membentuk kira-kira 37 peratus daripada jualan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga berdepan dengan cabaran lain untuk menyokong pemulihan mereka, termasuk kekurangan tenaga kerja dan kekangan eksport disebabkan oleh kadar tambang yang lebih tinggi.

"Kerajaan sebelum ini telah menangguhkan semakan semula tarif asas elektrik selama setahun di bawah Tempoh Kawal Selia 3 yang pada asalnya dijadualkan bermula pada Januari 2021 berikutan ketidaktentuan dan kesan perniagaan yang teruk berikutan wabak Covid-19.

"FMM bersyukur dengan lanjutan setahun di mana tarif asas dan rebat ICPT dikekalkan sepanjang tahun 2021.

"Namun, FMM berpendapat bahawa ini bukan masa yang sesuai untuk mengenakan sebarang semakan dalam kenaikan tarif terutamanya untuk sektor pembuatan kerana banyak industri masih terkesan daripada wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pihak industri sudah pun bergelut dengan penetapan harga inflasi pada hampir semua kos perniagaan.

"Jika kos operasi terus meningkat, pengilang mungkin perlu membuat beberapa pelarasan kepada kos operasi mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ia termasuk sama ada dengan menaikkan harga produk yang merupakan pilihan terakhir disebabkan oleh pasaran yang kompetitif atau strategi rasionalisasi kos lain seperti mengurangkan perbelanjaan pentadbiran dan kakitangan," katanya.

Beliau berkata, sebarang semakan tarif asas juga harus menangani subsidi silang berpanjangan dalam kategori tarif elektrik, ke arah mewujudkan penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mampan di negara ini.

"FMM juga menggesa tarikh kuat kuasa mana-mana semakan tarif akan mengambil kira masa yang mencukupi kepada industri, terutamanya pengeksport," ujarnya.