Michelle Yeoh, Chong Wei bakal meriahkan 1 LITE U 2.0 di Bukit Bintang

Nga Kor Ming - Foto: Bernama
Nga Kor Ming - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelakon pemenang Anugerah Oscar Tan Sri Michelle Yeoh dan legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei antara ikon negara yang bakal memeriahkan perarakan Tahun Baharu I LITE U 2.0 di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang, pada 2 Januari 2027.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan acara itu yang dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung.

Kor Ming mengumumkan penyertaan kedua-dua ikon negara itu susulan pertemuannya dengan Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya Jean Todt, yang juga suami Michelle Yeoh.

Bertemakan "70 Tahun Kegemilangan Malaysia”, perarakan itu bertujuan meraikan pencapaian negara, selain mempergiat promosi Kempen Melawat Malaysia 2026-2027.

Antara ikon negara lain yang bakal menyertai perarakan itu ialah penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza, legenda skuasy Datuk Nicol Ann David dan jaguh larian menara Soh Wai Ching.

"Kita mahu rakyat Malaysia bersama-sama meraikan pencapaian negara. Perarakan ini juga merupakan peluang untuk berkongsi sambutan itu dengan masyarakat dunia, sekali gus memperkukuh momentum Kempen Melawat Malaysia menjelang 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kor Ming berkata, perarakan itu akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen bagi mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata penganjuran sulung I LITE U pada awal tahun ini mencatat lebih 100 juta tontonan dalam talian, sekali gus membantu meningkatkan publisiti kempen pelancongan negara.

Susulan kejayaan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan agensi lain bagi menghimpunkan ikon negara serta rakyat Malaysia yang mencatat kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Kor Ming turut mengajak rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat usia untuk hadir bersama-sama keluarga dan rakan bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!