X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Feri Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis henti operasi sementara

Gambar hiasan.
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Orang ramai yang berhasrat bercuti ke Langkawi menggunakan feri dari Terminal Jeti Kuala Perlis pada 10 hingga 13 Februari ini terpaksa memilih laluan alternatif lain untuk ke pulau legenda terbabit.

Menurut notis yang dikeluarkan Cuti-Cuti Langkawi Sdn Bhd, operasi feri dari Kuala Perlis ke Langkawi dan dari Langkawi ke Kuala Perlis diberhentikan susulan paras air laut surut ke tahap rendah.

Katanya, bagaimanapun perjalanan feri itu akan kembali beroperasi seperti biasa bermula pada 14 Februari depan.

Penduduk, Norshahril Md Yusup, 33, berkata, dia dan beberapa rakan bercadang untuk bercuti ke Langkawi pada 11 Februari ini dengan menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis.

"Perjalanan dari rumah saya ke Jeti Kuala Perlis hanya mengambil masa 20 minit sahaja, mujur tak beli tiket lagi jadi bila keluar notis macam ni terpaksa naik feri dari Kuala Kedah.

"Kalau nak tunda perjalanan pun kami sudah buat perancangan rapi, rakan- rakan dari Kuala Lumpur pun sudah mengambil cuti untuk ke Langkawi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Muhd Hisyam Zuhdi Mohd Zaki, 30, berkata, dia bersama rombongan dari Kota Bharu memilih untuk menggunakan pengangkutan udara dari Kota Bharu ke Langkawi.

"Pada awalnya kami bercadang untuk menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis, tetapi bila hendak membeli tiket kami lihat ia tidak dijual untuk perjalanan pada 10 Februari,

"Mujur juga ada penerbangan terus, jadi lebih memudahkan kami," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Feryline Kuala Perlis, Roslan Abd Ghani Seman berkata, operasi feri bagi empat hari itu diberhentikan buat sementara waktu berikutan paras air laut mencatatkan bacaan di bawah 1.6 meter.

"Pihak pengurusan memang tidak membuka jualan tiket bagi tarikh dimaklumkan dan pelancong yang berhasrat untuk ke Langkawi boleh menggunakan feri dari Terminal Jeti Kuala Kedah," katanya.

Menurutnya, penumpang yang ingin membawa masuk kenderaan ke Langkawi masih boleh berbuat demikian pada tarikh berkenaan.

"Saya difahamkan perkhidmatan Langkawi Auto dan Roro masih beroperasi pada tarikh berkenaan dan sebarang maklumat lanjut boleh layari laman web mereka.

"Untuk pertanyaan lanjut mengenai tiket feri, penumpang boleh emelkan ke [email protected]," katanya.

Tambahnya lagi, sepanjang Disember jumlah pengunjung yang keluar masuk ke Langkawi dari dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah adalah sebanyak 288,868 orang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!