Tukar sampah jadi duit

Bahan seperti besi boleh ditukar kepada wang menerusi 'Program Jangan Buang, Ini Wang' anjuran MBK setiap dua kali sebulan.
Bahan seperti besi boleh ditukar kepada wang menerusi 'Program Jangan Buang, Ini Wang' anjuran MBK setiap dua kali sebulan.
A
A
A

KUANTAN - Pertukaran sampah kepada wang menerusi program 'Jangan Buang, Ini Duit' mampu menarik minat masyarakat untuk mengitar semula sampah seterusnya dijadikan sumber pendapatan sampingan.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, inisiatif itu sekali gus mampu mengurangkan beban pusat pelupusan sampah di Pahang yang berdepan dengan isu pembuangan sisa pepejal.

Menurutnya, program yang diadakan dua kali sebulan bermula bulan ini telah berjaya mengumpul 1,274 kilogram (kg) barangan kitar semula yang bernilai RM432.60.

"Kita yakin dengan konsep pertukaran sampah kepada duit ini ia akan menggalakkan komuniti melakukan kitar semula bagi menambah sumber pendapatan.

“Secara tidak langsung inisiatif ini dapat membudayakan amalan kitar semula di setiap peringkat golongan masyarakat dan kita dapat lihat ramai tampil untuk menukar sampah mereka," katanya ketika ditemui di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada Khamis.

Hamdan memaklumkan, sejak pelaksanaan program ini, kes denggi di daerah Kuantan semakin berkurangan disebabkan aktiviti pembelian barangan kitar semula.

Menurutnya, pembelian barangan kitar semula itu telah menyebabkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan perumahan mereka dapat dihapuskan.

"Kalau sebelum ini kita bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp) melalui 'trash to cash' di taman perumahan di sekitar Kuantan.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kini kita adakan program sama secara bulanan di dua lokasi iaitu Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pekarangan MBK bagi mengurangkan bahan kitar semula disimpan di kediaman mereka," ujarnya.