743 pelajar di Negeri Sembilan positif Covid-19: MB

Seramai 743 pelajar sekolah dan institusi pendidikan di Negeri Sembilan positif Covid-19 membabitkan 11 kluster pendidikan di negeri itu setakat Rabu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar hiasan
Seramai 743 pelajar sekolah dan institusi pendidikan di Negeri Sembilan positif Covid-19 membabitkan 11 kluster pendidikan di negeri itu setakat Rabu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 743 pelajar sekolah dan institusi pendidikan di Negeri Sembilan positif Covid-19 membabitkan 11 kluster pendidikan di negeri itu setakat Rabu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata 11 kluster aktif di negeri itu melibatkan lapan institusi pendidikan berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, manakala tiga lagi membabitkan institusi swasta.

"Keadaan masih terkawal dan pemantauan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di institusi pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan pasca mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Covid-19 Negeri Sembilan di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Aminuddin berkata pelajar yang dikategorikan sebagai kontak rapat dan diarahkan menjalani kuarantin di sekolah, tidak dibenarkan pulang sehingga tamat tempoh kuarantin walaupun ketika cuti Tahun Baharu Cina, minggu hadapan.

Selain itu, Aminuddin berkata pelajar tingkatan lima yang tinggal di asrama juga tidak digalakkan untuk pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina minggu hadapan.

"Kita harap ibu bapa memberi kerjasama mengenai hal ini, bagi memastikan anak-anak ini sihat dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Aminuddin berkata sekiranya terdapat kluster baharu di sekolah harian, maka kontak rapat akan dihantar ke stesen kuarantin (QS) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kes Covid-19 khususnya pada minggu kedua dan minggu ketiga bulan ini, disebabkan kluster tempat kerja, kluster pendidikan dan kontak rapat.

Artikel Berkaitan:

"Semalam, 311 kes baharu Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 117,962 kes dengan 1,334 kematian.

Terdapat 16 kluster yang masih aktif iaitu 11 kluster pendidikan, empat kluster tempat kerja dan satu kluster pusat tahanan setakat ini,” katanya.

Aminuddin berkata pihaknya akan menyediakan Rumah Peranginan Kerajaan Negeri sebagai lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), sebagai persediaan menghadapi gelombang penularan wabak itu di Negeri Sembilan. - Bernama