X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Kluster pendidikan: KPM belum buat keputusan perketat SOP sekolah

Mohamad Alamin (dua dari kiri) ketika melawat tapak SMK Kundasang di Kundasang, Ranau pada Khamis.
A
A

RANAU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mendapatkan laporan lengkap sebelum memutuskan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian sekolah berikutan peningkatan kes Covid-19 berkaitan institusi pendidikan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya sedang meneliti laporan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung situasi semasa kes Covid-19 berkaitan institusi pendidikan.

"Kita minta laporan dari masa ke masa dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan memantau dengan dekat masalah ini. Kita masih dalam proses mendapatkan laporan lebih lengkap tentang kluster yang naik.

"Sekiranya ada apa-apa keperluan, kita akan umumkan sama ada perlu diperketatkan atau apa-apa SOP yang akan diambil," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mesilou, Kundasang di sini pada Khamis.

Beliau bagaimanapun turut menasihatkan semua pihak supaya terus menjaga SOP dan mengutamakan kesihatan serta keselamatan pelajar sekolah.

"Nasihat saya, SOP ini harus dijaga oleh semua pihak termasuk pihak sekolah, pentadbiran sekolah.

"KKM juga telah mengedarkan SOP, jadi keutamaan kita ialah kesihatan, keselamatan pelajar," katanya.

Sebelum itu, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan kemungkinan lebih banyak kluster institusi pendidikan dilaporkan di Sabah dalam beberapa hari ini berdasarkan saringan dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Sepanjang minggu lalu hingga hari ini, sebanyak 10 kluster baharu berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah, termasuk tiga kluster baharu yang dilaporkan pada Khamis.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!