Pemotongan hasil padi melalui proses pemutuan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Razman Zakaria
Gambar hiasan. Gambar kecil: Razman Zakaria
A
A
A

PARIT BUNTAR - Pemotongan hasil kualiti padi tidak dilakukan sewenang-wenangnya oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) atau mana-mana pengilang tanpa melalui proses pemutuan.

Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, hasil padi yang dihantar ke kilang perlu melalui proses pemutuan bagi menentukan kualiti gred padi tersebut.

Menurutnya, untuk itu, pesawah dinasihatkan menjaga kualiti hasil padi mereka dengan memastikan benih padi sah digunakan selain mengawal selia sawah mereka dengan baik.

"Setiap pemilik kilang atau pihak Bernas terlebih dahulu akan membuat penilaian pemutuan bagi menentukan kualiti dan gred sebelum pemotongan dibuat terhadap padi yang dijual pesawah.

"Takkanlah kilang nak beli padi yang banyak hampa dengan potongan yang rendah?" katanya kepada pemberita selepas program Penyerahan Benih Anak Pokok Kelapa MYD di Pejabat Pentadbiran Agama Islam, Parit Buntar di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan yang tular di media sosial seorang pesawah dikenakan pemotongan 35 peratus terhadap padi yang dijualnya di Bernas Sungai Ranggam, Teluk Intan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Razman berkata, pihaknya berhasrat untuk mengadakan kempen khusus kepada golongan pesawah bagi memastikan mereka menjaga sawah dengan baik.

Menurutnya, setiap kali musim padi pasti berlaku beberapa masalah berulang seperti isu kekurangan benih padi, sistem pengairan dan pemotongan hasil kualiti padi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, terdapat pesawah mampu menghasilkan jumlah keluaran tinggi bagi satu musim kerana penjagaan dan sistem yang baik.

Razman berkata, hasil atau kualiti padi itu bergantung dari penjagaan dan sikap petani itu sendiri.

Pada 24 Januari lalu, tular di Facebook seorang pengguna dipercayai pesawah merungut apabila hasil padi yang dijual telah dikenakan pemotongan sehingga 35 peratus oleh Bernas Sungai Ranggam.