Pesawah kecewa benih padi tidak berkualiti

Abdul Rashid (dua dari kanan) menunjukkan benih padi tidak berkualiti yang dijual kepada pesawah di negara ini.
Abdul Rashid (dua dari kanan) menunjukkan benih padi tidak berkualiti yang dijual kepada pesawah di negara ini.
A
A
A

KUBANG PASU - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa kualiti sebahagian benih padi yang dibekalkan kepada pesawah di negara ini mengecewakan dan langsung tidak bercambah apabila direndam dalam air.

Exco Pesawah, Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya banyak menerima aduan dari pesawah di Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan berkaitan hal itu.

Katanya, pemerhatian yang dijalankan juga mendapati terdapat benih lama yang dijual kepada pesawah berusia lebih tiga bulan daripada tarikh diproses.

"Berlaku juga kejadian di mana benih dibekalkan masih baharu namun tidak bercambah apabila direndam.

"Masalah ini sudah kami bangkitkan sejak empat tahun lalu tetapi masih terus berulang sehingga kini," katanya ketika ditemui di Kampung Megat Dewa di sini pada Isnin.

Menurutnya, mereka yakin masalah ini timbul kerana syarikat pengeluar benih padi dilindungi sistem pelesenan dan kuota bekalan benih padi.

"Setiap musim mereka dengan mudah mendapat keuntungan jutaan ringgit daripada subsidi diberikan kerajaan terus kepada syarikat terlibat.

"Ini bermakna sama ada benih dihasilkan berkualiti atau tidak, syarikat-syarikat ini tetap boleh menuntut bayaran subsidi dari kerajaan. Ditambah dengan kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak Kawalselia Padi Dan Beras, keadaan ini akan terus berlaku," katanya.

Abdul Rashid berkata, kerajaan digesa agar memberikan lebih banyak lesen untuk menjual benih padi kepada pihak-pihak lain seperti pertubuhan peladang, koperasi, syarikat bertaraf industri kecil dan sederhana (SME) serta golongan petani.

"Benih padi dihasilkan golongan petani biasanya lebih berkualiti daripada dihasilkan pengilang. Mereka tak menggunakan makmal dan sebagainya sebaliknya golongan petani ini akan menilai padi yang elok untuk disimpan dan dikongsi bersama rakan-rakan.

"Maka berikanlah lesen kepada mereka untuk menjual benih tersebut dan dalam masa sama subsidi yang berikan kepada pengilang selama ini, diberikan secara terus kepada golongan petani dalam bentuk kupon," katanya.

Ujarnya, terdapat satu lagi isu berkaitan benih padi yang sering membelenggu golongan pesawah iaitu timbangan berat yang tidak sama jumlahnya seperti dipaparkan pada kampit benih.

"Pada kampit benih tertulis berat 20 kilogram (kg) tetapi apabila ditimbang, kampit benih itu biasanya hanya seberat 18.8kg atau 19.2kg.

" Apabila isu ini dibangkitkan, pengilang akan jawab kononnya mereka memang meletakkan benih padi seberat 20 kg tetapi kadar beratnya susut akibat benih kian kering dari hari ke hari," katanya.

Katanya, mereka berharap pihak berkuasa aktif membuat pemeriksaan di kilang-kilang iaitu pada hari benih itu diletakkan dalam kampit guni dan bukan di kedai apabila benih sudah kering.