'Tamatkan persengketaan, asal ada pilihan raya kita bergaduh'

Nasrudin
Nasrudin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Pas dan UMNO yang dilihat masih belum mencapai penyatuan dalam berdepan pilihan raya, sebaliknya lebih banyak bercakaran serta saling tuding menuding memperlihatkan kedua-dua parti itu berjiwa kecil dalam berdepan dengan konflik dalaman.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hasan turut mempersoalkan sikap kedua-dua parti berkenaan yang lantang bercakap mengenai perpaduan, namun berbeza melalui tindakan apabila memperlihatkan sikap hilang sabar, cepat melatah, 'cepat koyak' sehingga mencetuskan persengketaan antara satu sama lain setiap kali menjelang pilihan raya.

Menurutnya, tindakan terbabit sangat menyedihkan dan menjatuhkan maruah sesama Islam apatah lagi perbalahan itu berlaku di laman sosial yang sudah tentu ramai khalayak memerhati tingkah laku terbabit.

"Hanya sekadar untuk menyatukan Pas dan UMNO saja pun. Kita tak jumpa bilik mesyuarat, kita kehilangan meja rundingan," katanya menerusi hantaran di Facebook Sekali Serban Dililit pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nasrudin turut meminta Pas dan UMNO berhenti bersengketa apatah lagi mereka dilihat bergaduh dalam perkara yang tidak perlu, masing-masing mencari kepuasan hati dengan melayan kerenah pihak anti perpaduan, selain terpedaya provokasi licik ejen perpecahan.

Lebih malang katanya apabila pemimpin umat Islam daripada kedua-dua parti terbabit seolah-olah dilihat sebagai 'kaki gaduh' apabila turut mencerca dan mengherdik satu sama lain.

"Tamatkanlah persengketaan ini. Malu pada masyarakat yang menyaksikan kita sesama agama bergaduh tak sudah. Asal ada pilihan raya kita bergaduh. Asal kita bergaduh, ada pilihan raya," katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru kepimpinan dalam Pas dan UMNO menyerlahkan kehebatan sebagai pemimpin dengan pemikiran yang membawa gagasan besar dengan menyatukan ummah untuk membina kecemerlangan negara dan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita berjiwa besar nak menyatukan umat Islam di Palestin supaya ambil semula Al-Quds. Kita punya idea hebat untuk umat Islam di Syria, Yemen, Afghanistan dan lain supaya bersatu.

"Usah lagi berperang sebaliknya satukan umat dan majukan negara," katanya.