PRN Johor: Bincang isu berbangkit Pas-UMNO secara ukhuwah

Pas Johor berharap sebarang perkara berbangkit termasuk isu pembahagian kerusi antara parti itu dengan UMNO pada PRN Johor dapat dibincangkan secara ukhuwah bagi memelihara hubungan sedia ada. Gambar kecil: Abdullah Husin
Pas Johor berharap sebarang perkara berbangkit termasuk isu pembahagian kerusi antara parti itu dengan UMNO pada PRN Johor dapat dibincangkan secara ukhuwah bagi memelihara hubungan sedia ada. Gambar kecil: Abdullah Husin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor berharap sebarang perkara berbangkit termasuk isu pembahagian kerusi antara parti itu dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat dibincangkan secara ukhuwah bagi memelihara hubungan sedia ada.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pendekatan tersebut penting bagi mengelakkan salah faham di samping dapat mengelakkan andaian dan laporan yang mengelirukan dalam media sosial.

"Merujuk video yang tular Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad mempersoalkan kejujuran Pas dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik tawaran 15 kerusi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Pas Johor ingin menegaskan bahawa setakat ini belum ada perundingan atau perbincangan dibuat bersama-sama UMNO Johor tentang pengagihan kerusi PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), apa lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi DUN.

"Sebagai rakan dalam MN, Pas Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan pemuafakatan ini.

"Pas Johor menyeru dan berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincangkan secara ukhuwah melalui perundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tegas Abdullah, Pas Johor juga menafikan keterlibatan dengan menyokong calon Berjasa dalam PRK Tanjung Piai bahkan jentera Pas digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon BN daripada MCA ketika itu.

"Justeru Pas Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh pemuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan BN masih belum menetapkan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas atau bergerak solo pada PRN Johor.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pemimpin tertinggi akan meneliti sebaiknya setiap perkara berkaitan kerjasama dengan Pas sebelum sebarang keputusan dibuat.

DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.