Kerajaan lancar Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia

Ka Siong (dua dari kanan) bersama pemandu e-hailing pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan dan Ops Bersepadu Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 Putrajaya, pada Khamis.
Ka Siong (dua dari kanan) bersama pemandu e-hailing pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan dan Ops Bersepadu Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 Putrajaya, pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030 dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara sifar kematian akibat nahas jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, melalui pelan ini, kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus pada tahun 2030, berbanding jumlah kematian yang direkodkan pada tahun 2019.

Menurutnya, hala tuju ini adalah selaras dengan seruan dan sasaran resolusi 74/299, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan tahun 2021-2030 sebagai dekad tindakan keselamatan yang kedua sejurus tamatnya dekad yang pertama, pada tahun 2020 yang lalu.

"Pelan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan melindungi kebajikan semua pengguna jalan raya di Malaysia," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan dan Ops Bersepadu Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan kepada statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), 418,237 kes nahas jalan raya telah direkodkan pada tahun 2020 dengan 4,634 kematian.

Bagi tempoh Januari sehingga September 2021 pula, sebanyak 255,532 kes nahas di jalan raya telah direkodkan dengan 3,302 kes kematian.

"Penurunan bilangan kematian akibat nahas jalan raya berlaku secara mendadak pada tahun 2020, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Ini secara korelasinya adalah ekoran daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang pada dasarnya telah mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya dan seterusnya menurunkan angka korban jalan raya.

"Had pergerakan ekoran daripada pandemik Covid-19 di negara ini telah berjaya mengurangkan kadar kematian di jalan raya, bukan sahaja di Malaysia malahan juga di seluruh dunia. Rata-rata negara di dunia telah mencatatkan kadar penurunan kes kematian jalan raya, sehingga 20 peratus termasuklah di negara kita, iaitu penurunan sebanyak 25 peratus bagi tahun 2020," jelasnya.

Artikel Berkaitan:


Semantara itu katanya, berdasarkan data Ops Selamat 16 PDRM, sebanyak 23,208 kes kemalangan jalan raya dilaporkan dengan 206 kes kemalangan maut dan 230 kes kematian telah direkodkan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Selamat Tahun Baru Cina pada tahun 2020.

Jelasnya, kadar kematian sebanyak 230 pengguna jalan raya dalam tempoh dua minggu merupakan kadar yang amat membimbangkan.

"Bagi hemat saya, ini memberi satu indikasi bahawa kadar literasi keselamatan jalan raya(road safety literacy) dalam komuniti jalan raya kita masih belum mencapai tahap yang membanggakan," ujar beliau.