Pemilik kereta terjejas akan dibantu: Exco

Sebanyak lima kenderaan yang diletakkan berhampiran rumah kedai di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana di sini rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan berkenaan. Gambar kecil: Izham
Sebanyak lima kenderaan yang diletakkan berhampiran rumah kedai di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana di sini rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan berkenaan. Gambar kecil: Izham
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Kerajaan Selangor akan berbincang untuk melihat jenis-jenis bantuan yang akan diberikan kepada pemilik-pemilik kereta yang terjejas akibat mendapan tanah berlaku di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, di sini pada Selasa.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, satu mesyuarat akan diadakan bersama Unit Pengurusan Bencana Selangor di bawah portfolio Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu.

Menurutnya, usul daripada pihaknya selepas turun padang ke lokasi kejadian melihat keadaan di sini akan dibentangkan dalam mesyuarat tersebut.

"Kereta-kereta yang terjatuh dalam longkang ini mempunyai tuannya memandangkan ia sedang dibaiki oleh pihak bengkel, jadi kita akan lihat langkah-langkah yang akan diambil," katanya ketika melawat lokasi kejadian mendapan tanah di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Izham berkata, pihaknya akan berbincang dengan MBSJ dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling untuk melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca mendapan tanah dalam masa terdekat serta mengambil langkah jangka panjang menangani bencana tersebut.

"Kejadian ini agak berbeza berbanding yang berlaku pada tahun 2018 tapi ia tidak seserius insiden kali ini kerana terdapat pergerakan tanah dan biasanya ia melibatkan laluan air bawah tanah.

"Bagaimanapun, kita masih perlu ambil langkah berjaga-jaga kerana tanah ini sesuatu yang unik, kadangkala kita tidak boleh jangka ia (mendapan tanah) berlaku disebabkan kita tidak tahu punca sebenar.

"Tapi kita perlu buat siasatan tanah untuk melihat punca sebenar sebelum kita laksanakan pengukuhannya untuk tempoh jangka masa panjang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, sebanyak lima kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan itu pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.38 petang dan seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba Serdang bergegas ke lokasi kejadian.