PRN Johor: Keputusan Muhyiddin tidak beri kesan negatif

Mohd Solihan
Mohd Solihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan memberi kesan negatif terutama melibatkan peluang atau kempen Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri berkata, itu akan memberi kesan positif kerana Muhyiddin ada masa untuk meningkat dan memperkukuhkan peluang PN.

Menurutnya, Presiden Bersatu itu tidak lagi perlu beri perhatian terhadap satu kawasan DUN sahaja sekali gus membolehkan beliau fokus terhadap segenap aspek jentera dan kempen PN di negeri ini.

"Jika Tan Sri (Muhyiddin Yassin) tidak bertanding dalam PRN Johor, saya lihat itu adalah satu kelebihan kerana beliau akan mempunyai banyak masa berbanding sekiranya bertanding.

"Saya yakin kepimpinan dan pengalaman beliau yang telah terlibat banyak pilihan raya sebelum ini, kita akan mampu beroleh kemenangan.

"Jadi jika ditanya sama ada keputusan tersebut akan memberi kesan kepada PN dalam PRN Johor ini, ya memang ia beri kesan, ia beri kesan positif," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.

Menerusi mesyuarat Bersatu yang dipengerusikan Muhyiddin pada malam Selasa, beliau dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Gambir dan akan menyerahkan kerusi itu kepada tokoh lain untuk menerajuinya.

DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan, kepimpinan Bersatu Pusat sudah membuat keputusan kerusi itu diserahkan kepada Bersatu Bahagian Ledang.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang berkata, pihaknya sudah mempunyai calon bersesuaian, diterima ahli akar umbi dan juga penduduk setempat di Bukit Gambir.

"Kami percaya calon berkenaan akan dapat menyambung khidmat yang dibuat Tan Sri, selain turut memberi nilai tambah kepada penduduk setempat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu.