Sarjan tidak mengaku terima suapan RM2,500

Mohd Nazuli (kanan) dibawa anggota SPRM ke kaunter Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk membayar wang jaminan pada Rabu.
Mohd Nazuli (kanan) dibawa anggota SPRM ke kaunter Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk membayar wang jaminan pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu atas dakwaan menerima suapan sebanyak RM2,500 di Baling, Kedah pada tahun 2019.

Mohd Nazuli Mohd Nazari membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Hamri Thamri Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 35 tahun telah melakukan kesalahan tersebut pada 3 Disember 2019, jam 4.27 petang di dalam kereta jenis Perodua Axia warna hitam di parkir kereta Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah Baling.

Mohd Nazuli ketika itu bertugas di Bahagian Detektif, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling secara rasuah memperoleh suatu suapan berjumlah RM 2,500 daripada seorang lelaki berusia 34 tahun.

Suapan tersebut sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas lelaki tersebut yang disyaki mencuri dua buah telefon bimbit di sebuah kedai telefon di Pekan Baling, Kedah.

Kes didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Siew Ping memohon mahkamah memberikan wang jaminan sehingga RM10,000, manakala peguam, Alif Zulkefli yang mewakili Mohd Nazuli memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut Alif, anak guamnya kini menjadi penanggung utama kepada keluarga iaitu seorang isteri dan dua anak termasuk ibu bapanya.

Harmi Thamri kemudiannya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes pula ditetapkan pada 7 Mac depan dan difahamkan tertuduh membayar wang jaminan tersebut.