Jual barang harga patut

Summugam mendengar penerangan daripada Hamsiah berkenaan barangan di KHP, semalam.
Summugam mendengar penerangan daripada Hamsiah berkenaan barangan di KHP, semalam.
A
A
A

JITRA - Pelancaran Kedai Harga Patut (KHP) Koperasi di negeri ini membantu untuk menyedia dan meningkatkan aksesibiliti dan ketersediaan barangan kepada pengguna dengan harga berpatutan.

Exco Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr R Summugam berkata, KHP menyediakan lebih banyak pilihan barangan kepada pengguna dan membantu rakyat dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup.

Katanya, usaha ini membuktikan kerajaan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat dalam menghadapi kos sara hidup tinggi.

"Oleh sebab itu, kerajaan memberi kelulusan kepada lima koperasi di negeri ini untuk menjalankan Kedai Harga Patut Koperasi di Parlimen masing-masing termasuk di Kubang Pasu hari ini," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kedai Harga Patut Koperasi Kakitangan Kumpulan Syarikat Dr Azizan Kedah Berhad sempena Karnival Harapan Negeri Kedah.

R. Summugam ketika menyempurnakan majlis perasmian KHP Kokusda, semalam.
R. Summugam ketika menyempurnakan majlis perasmian KHP Kokusda, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh, barisan Exco kerajaan negeri dan Penasihat Kokusda, Hamsiah Ismail.

Menurutnya, beliau percaya gerakan koperasi bukan sahaja mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tetapi juga mampu menyatukan masyarakat dan mewujudkan ekonomi berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya KHP ini juga, kita dapat perkenalkan produk tempatan yang diusahakan koperasi terbabit.

"Selain itu, sokongan padu semua pihak juga amat diperlukan bagi menjayakan matlamat pembangunan kedai ini demi kesejahteraan semua," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kakitangan Kumpulan Syarikat DR Azizan Kedah Berhad (Kokusda), Jamaluddin Mat Piah berkata, koperasi terbabit didaftarkan pada 22 Jun 2008 dan aktiviti peruncitan bermula pada 1 April 2017 melalui penubuhan Kedai Serbaneka CoopMart.

Jamaluddin
Jamaluddin

"Kemudiannya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberi geran infrastruktur bernilai RM150,000 pada tahun lalu untuk bangunkan KHP.

"Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memilih koperasi kami bagi merealisasikan KHP ini," katanya.

Menurutnya, KHP ini bukan sahaja menyediakan barangan pada harga berpatutan kepada pelanggan, malah membantu meningkatkan pendapatan ahli.

"Ini kerana, setiap anggota Kokusda diberi kredit RM300 sebulan untuk menjual produk KHP kepada pelanggan.

"Manakala bagi setiap belian barangan kegunaan sendiri bernilai RM100 di KHP, pihak syarikat beri inisiatif RM50 seorang," katanya.