X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Siram pokok durian waktu malam punca tekanan air rendah

Muhammad Sanusi menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Hamper sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di sini,pada Selasa
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengesan aktiviti menyiram pokok durian menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam yang dikhuatiri menyebabkan masalah tekanan air rendah di Sik.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan penduduk terlibat terpaksa berbuat sedemikian kerana tiada pilihan akibat musim kemarau ketika ini.

Muhammad Sanusi mengakui ada kawasan sedang berdepan dengan tekanan air rendah disebabkan musim kemarau sekarang dan hujan dijangka hanya melanda pada April nanti.

"Lazimnya, kita menyimpan air yang ingin diguna sebelah pagi pada waktu malam iaitu antara jam 1 hingga 6 pagi dalam tangki ketika orang tidur.

"Bagaimanapun, kita kenal pasti ada penduduk menyiram pokok durian musang king dan duri hitam pada waktu malam disebabkan musim kemarau. Mereka tetap kena siram,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hamper sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di sini, pada Selasa

Menurutnya, ada penduduk menggunakan air terawat untuk tujuan siraman berikutan kawasan tanaman terletak jauh dari sumber air seperti tali air dan sawah padi.

"Kita mengesan ada trend air menyusut antara jam 1 hingga 4 pagi, sekali gus disimpulkan ada aktiviti penyiraman dan simpan air di dusun untuk siram pokok durian," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berharap penduduk yang mengusahakan tanaman pokok durian berkenaan mencari alternatif lain untuk menyiram pokok tanpa menggunakan bekalan air terawat.

"Kos air terawat tinggi, walaupun dia bayar bil itu tetapi menyebabkan sistem kita mengalami penurunan tekanan menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan hujung paip tidak mendapat bekalan air," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, tindakan telah diambil bagi memulihkan gangguan bekalan air di Sungai Star di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri melibatkan tangki di Kampung Changai.

Pada 21 Januari lalu, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz memberitahu cuaca panas yang melanda Kedah sejak awal tahun ini dijangka berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!