Kayuhan amal kumpul RM742,000

Tengku Amir Shah berkenan menyertai kayuhan amal 'Mahabbah Cycling 2019' bersama 500 peserta lain di sepanjang 12 kilometer Kampung Sementa, Kapar, hari ini.
Tengku Amir Shah berkenan menyertai kayuhan amal 'Mahabbah Cycling 2019' bersama 500 peserta lain di sepanjang 12 kilometer Kampung Sementa, Kapar, hari ini.
A
A
A

KLANG - Yayasan Isl​​am Darul Ehsan (YIDE) berjaya mengumpul dana sebanyak RM742,000 ​menerusi ​​program kayuhan amal 'Mahabbah Cycling 2019' ​yang dianjurkan​ bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS)​ di Kampung Sementa, Kapar, hari ini.

​​Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Bakhtiar Hussin berkata, kayuhan amal bertemakan 'Gaya Hidup Sihat Untuk Buah Pinggang Sihat' itu diadakan bersempena Hari Buah Pinggang Sedunia, sekali gus mengumpul dana bagi ​​membiayai pembelian mesin-mesin hemodialisis yang baharu di enam cawangan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

"Kita ada sebanyak 48 buah mesin hemodialisis yang ditempatkan di enam cawangan Pusat Dialisis MAIS di negeri ini, namun sembilan daripadanya serta empat 'RO water' perlu ditukar kerana tempoh usianya sudah melebihi 10 tahun.

Tengku Amir Shah meluangkan masa melawat pesakit-pesakit buah pinggang yang menerima rawatan di Pusat Dialisis MAIS Kapar pada program 'Mahabbah Cycling 2019' hari ini
Tengku Amir Shah meluangkan masa melawat pesakit-pesakit buah pinggang yang menerima rawatan di Pusat Dialisis MAIS Kapar pada program 'Mahabbah Cycling 2019' hari ini

"Selain itu, ia juga sering mengalami kerosakan dan turut mengganggu proses rawatan bagi keseluruhan 270 orang pesakit," katanya memberitahu dana terkumpul adalah hasil sumbangan dari enam penaja antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN), Central Sugar Refinery (CSR), Lembaga Tabung Haji dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd.

Program kayuhan amal sejauh 12 kilometer bermula dari Masjid Al-Islah, Kampung Sementa itu disertai 500 peserta termasuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid serta ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Selain kayuhan, Tengku Amir Shah berkenan menziarahi dua keluarga asnaf fakir miskin, Mohd Azhar Abdul Aziz, 50, Hasnul Hatimah Abu Bakar, 35 dan Fatimah Mohd, 69 yang turut menerima bantuan sebuah kerusi roda, wang tunai serta barang keperluan.

Artikel Berkaitan:

Tengku Amir Shah (dua, kiri) berkenan menyampaikan sumbangan kepada Hasnul Hatimah (tiga, kiri) dan Fatimah Mohd, 69 (duduk) ketika sesi ziarah dalam program 'Mahabbah Cycling 2019' hari ini.
Tengku Amir Shah (dua, kiri) berkenan menyampaikan sumbangan kepada Hasnul Hatimah (tiga, kiri) dan Fatimah Mohd, 69 (duduk) ketika sesi ziarah dalam program 'Mahabbah Cycling 2019' hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, sebanyak tujuh mesin hemodialisis diserahkan kepada YIDE bagi menggantikan mesin sedia ada yang rosak.

"Kita bukan saja menawarkan perkhidmatan kewangan kepada orang awam tapi turut komited menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan termasuk bantuan kepada pesakit-pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan di enam cawangan Pusat Dialisis MAIS.

"BSN dimaklumkan rata-rata cawangan pusat dialisis itu mempunyai 12 mesin berkenaan yang menampung seramai 36 hingga 76 pesakit sebulan dan penggunaannya juga secara tiga syif setiap hari tanpa henti menyebabkan ia mudah rosak. Jadi dengan sumbangan mesin baharu ini diharap dapat bantu memudahkan pesakit menjalankan rawatan mereka," katanya.

Enam cawangan Pusat Dialisis MAIS adalah di Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor, Shah Alam, Bukit Jelutong dan Taman Melawati, Gombak.

Tengku Amir Shah (tengah) bergambar bersama penaja-penaja yang memberi sumbangan bagi membiayai pembelian mesin-mesin hemodialisis baharu di Pusat Dialisis MAIS hari ini.
Tengku Amir Shah (tengah) bergambar bersama penaja-penaja yang memberi sumbangan bagi membiayai pembelian mesin-mesin hemodialisis baharu di Pusat Dialisis MAIS hari ini.