15,000 jentera Pas sedia gempur PRN Johor

Abdullah (kanan) semasa sidang media di Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda pada Isnin.
Abdullah (kanan) semasa sidang media di Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lebih 15,000 jentera Pas dari seluruh negara akan digerakkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, daripada jumlah itu 13,000 adalah jentera Pas Johor manakala 1,500 jentera lagi jentera tambahan Pas pusat dan dari negeri lain.

"Setiap kawasan akan melibatkan 500 jentera. Jentera ini akan melibatkan semua peringkat daripada pemimpin atasan sehingga ke peringkat akar umbi yang datang membantu untuk berkempen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda di sini pada Isnin. Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Karim Deraman.

DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pada Isnin, SPR memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan urusan PRN tersebut.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, jumlah jentera yang bertugas itu adalah lebih besar berbanding jumlah jentera yang digerakkan parti itu semasa PRN Melaka tahun lalu.

Katanya, jentera Pas sudah dipersiapkan sejurus selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-14 lagi dan kini diperhebatkan kembali selepas pengumuman pembubaran DUN Johor.

Sementara itu, Abdullah berkata, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap kepentingan Undi 18 dan Dewan Pemuda Pas Johor sudahpun diberikan tanggungjawab untuk menarik sokongan pengundi muda.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan ini merupakan kali pertama individu berusia 18 hingga 20 tahun dibenarkan untuk mengundi, jadi kita telah merangka strategi untuk mendekati golongan berkenaan.

"Selain menggerakkan Jabatan Amal Malaysia (JAM), kita ada beberapa institusi lain yang akan turut berkempen melalui platform media sosial," katanya.