Hasni jadi 'poster man', BN boleh menang bergaya di Johor

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - MIC mencadangkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dijadikan 'poster boy' sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yakin, Barisan Nasional (BN) akan menang 100 peratus dalam PRN Johor sekiranya Hasni dipilih sebagai 'poster boy'.

"Walaupun lebih sesuai untuk kita menggelarkan beliau sebagai 'poster man'.

"Dengan pemilihan Hasni sebagai 'wajah BN', MIC yakin akan menang, beliau memang layak untuk teraju BN Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Taklimat Pilihanraya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini pada Ahad.

Turut hadir, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Sementara itu, Hasni berkata, BN Johor menjangkakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat akan diperkenalkan dalam PRN.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu, langkah tersebut bagi memastikan PRN berkenaan lancar dan selamat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau berharap jentera yang digerakkan dalam PRN sentiasa mengutamakan kepentingan dan mematuhi SOP serta menjadi ciri utama ketika berkempen.

"Kita juga telah membuka 'command centre' di bangunan pejabat UMNO Johor untuk mengelolakan perkara tersebut dan kita akan pastikan bahawa jentera yang diwujudkan adalah mereka yang meletakkan kepentingan kepada soal menjaga SOP.

"Pematuhan kepada SOP ini penting dan yang saya harap akan menjadi satu ciri utama kepada jentera BN dalam PRN Johor kali ini," katanya.

Dalam pada itu, Hasni memuji MIC yang tidak berlengah dalam menggerakkan jenteranya hanya dalam tempoh sehari selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Persiapan jentera MIC bukan hanya melibatkan kesemua 56 DUN di Johor tetapi juga jentera daripada MIC Pusat dan juga MIC di negeri lain.

"Walaupun keputusan berhubung pengagihan kerusi dan nama-nama calon masih belum dimuktamad tetapi jentera parti di semua peringkat telah digerakkan," katanya.

Pada PRN Melaka lalu, BN dikompaun RM10,000 kerana didapati melanggar SOP sewaktu Majlis Pelancaran Jentera PRN Melaka yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Oktober lalu.

Selain itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan juga Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut dikompaun RM10,000 masing-masing kerana melanggar SOP PRN Melaka pada 19 November lalu.