Indeks kualiti udara Pasir Gudang normal

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor Datuk Yahaya Madis semasa sidang media di Medic Base Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini. Foto Bernama
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor Datuk Yahaya Madis semasa sidang media di Medic Base Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHARU - Indeks kualiti udara di sekitar Pasir Gudang berada dalam keadaan selamat sehingga waktu ini, namun pihak bomba dan agensi terlibat dalam Ops Kim Kim terus melakukan pemantauan 24 jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata setakat hari ini, bacaan tiada yang membimbangkan dan tidak mencapai tahap berbahaya iaitu di bawah 3 ppm (bahagian setiap juta).

“Saya nasihatkan orang ramai agar menggunakan topeng mulut dan hidung walaupun bacaan udara berada pada tahap bawah paras bahaya bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan, kita bimbang sekiranya berlaku pelepasan gas yang tidak diduga kerana kita tidak tahu bahan apa yang terdapat dalam sungai ketika ini,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Bomba di Stadium Tertutup Majlis Penbandaran Pasir Gudang hari ini.

Yahaya berkata, langkah berjaga-jaga itu diambil kerana pada 13 Mac lepas, pihaknya telah mengesan gas berbahaya jenis ‘hidrogen sianida’ (HCN) di sebuah rumah di Tanjung Puteri dan mencatat bacaan tinggi iaitu melebihi 4.5 ppm tetapi dalam masa sejam bacaan terus turun.

Oleh itu, katanya, orang ramai perlu memandang serius terhadap perkara itu dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga jika berlaku sebarang pelepasan gas di kawasan pembersihan.

Beliau berkata sehingga ini, seramai 158 anggotanya terlibat dalam Operasi Kim Kim termasuk bantuan pasukan Hazmat dari Kedah, Perak dan Selangor.

Antara peranan JBPM dalam Operasi Kim Kim termasuk mengenal pasti tempat-tempat yang pernah berlaku pencemaran kimia sebelum ataupun selepas kerja pembersihan bagi memantau sekiranya terdapat pelepasan gas baharu di tempat yang pernah berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kerja-kerja pembersihan selesai, kita akan memastikan kualiti udara seluruh Pasir Gudang berada pada tahap baik dan barulah kita akan menasihatkan pihak atasan untuk operasi ini ditamatkan,” katanya. - Bernama