Ancaman harimau: Kerajaan utama keselamatan, kebajikan orang asli

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

GUA MUSANG - Kerajaan memberi jaminan untuk mengutamakan keselamatan dan menjaga kebajikan masyarakat orang asli yang berdepan ancaman harimau di penempatan mereka di pedalaman daerah ini terutama di Pos Bihai di sini sejak Disember tahun lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha dilakukan termasuklah mengadakan kawalan di penempatan orang asli yang terlibat dengan memasang perangkap untuk menangkap harimau yang berkeliaran serta menyalurkan bantuan makanan kepada komuniti berkenaan.

Katanya, usaha dilakukan dengan melibatkan pelbagai jabatan lain termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Kawalan keselamatan dilakukan oleh PDRM di penempatan orang asli di Pos Bihai yang mempunyai 305 penduduk manakala Perhilitan memasang tujuh perangkap di berkenaan namun belum ada tangkapan harimau.

“Jakoa dan pemimpin setempat pula menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk kerana mereka tidak boleh keluar kerana takut akan kehadiran harimau di penempatan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu Kesedar 2022 yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Kesedar, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Mahdzir mengulas lanjut, tiga ekor harimau belang tersebut didapati berkeliaran di perkampungan orang asli di Pos Bihai iaitu membabitkan Kampung Remau, Kampung Bujuk, Kampung Bayor, Kampung Tendrik, Kampung Salak, Kampung Badak, Kampung Saudan dan Kampung Pahong.

Ketika ditanya mengenai cadangan untuk memindahkan orang asli berkenaan, beliau berkata perkara itu bergantung kepada bidang kuasa Perhilitan untuk mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

“Penempatan orang asli di Pos Bihai adalah kawasan yang sememangnya terdapat populasi harimau paling banyak namun pada masa dulu harimau tidak keluar ke kampung tetapi sekarang harimau mula masuk ke kawasan perkampungan menyebabkan ancaman kepada penduduk.

“Sebarang tindakan lanjut termasuk pemindahan penduduk memerlukan kelulusan MKN,” katanya.

Pada 7 Januari lalu, orang asli suku kaum Temiar, Anek Along, 40-an, maut dibaham harimau di belakang rumahnya di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang.

Terbaharu, pak belang yang berkeliaran di penempatan orang asli di Pos Bihai itu di lihat muncul pula di Pos Ber di sini pada 20 Januari lalu.