X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi pagi ini

Ahmad Zahid dilihat memasuki Mahkamah Tinggi pada jam 9.04 pagi ini. FOTO SINAR HARIAN
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat memasuki Mahkamah Tinggi pada jam 9.04 pagi hari ini.

Beliau yang dilihat turun dari kenderaan pelbagai guna (MPV) putih Toyota Vellfire itu sempat melambai kepada petugas media sebelum memasuki Mahkamah Tinggi tadi.

Kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah bagi mendengar keputusan berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Keputusan sama ada Ahmad Zahid, 69, dibebaskan atau dipanggil untuk membela diri dijangka diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah pada jam 9.30 pagi hari ini (Isnin).

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pasukan pendakwaan, yang berpendapat wujud prima facie, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dipanggil untuk membela diri.

Ahmad Zahid akan diberi pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan dan kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara pilihan terakhir, Ahmad Zahid memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Beberapa pemimpin UMNO turut hadir di pekarangan mahkamah bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Antaranya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Perbicaraan bermula pada 18 November 2019.

Ahmad Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Petugas media telah pun berada di pekarangan Mahkamah Tinggi bagi menunggu kehadiran Ahmad Zahid seawal jam 8 pagi lagi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!