Jangan kerana leka berpolitik, murid terabai

Tanggungjawab dan amanah yang dipikul guru-guru sangatlah diperlukan tanpa mengira apa pun fahaman atau ideologi politik yang dipegang. Gambar hiasan.
Tanggungjawab dan amanah yang dipikul guru-guru sangatlah diperlukan tanpa mengira apa pun fahaman atau ideologi politik yang dipegang. Gambar hiasan.
A
A
A

PEMBABITAN guru dalam kancah politik bukanlah perkara baharu kerana umum mengetahui ramai warga pendidik yang akhirnya menjadi wakil rakyat.

Ia dilakukan secara sembunyi kerana terdapat peraturan melarang guru aktif dalam politik, apatah lagi menyertai parti pembangkang yang menentang kerajaan.

Malah, ada guru yang dikenakan tindakan tatatertib, bahkan ditamatkan perkhidmatan semata-mata disebabkan minat terhadap politik.

Bagaimanapun, mereka kini tidak perlu risau apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta. Lampu hijau tersebut jelas memperlihatkan kerajaan kini bersikap lebih terbuka.

Ismail Sabri berkata, sebelum ini terdapat pekeliling yang menyekat guru daripada berpolitik sehingga ada yang diberikan amaran serta diambil tindakan. Justeru, katanya, perkara tersebut telah dibawa ke kabinet dan kerajaan memutuskan untuk memberi kebenaran bagi menghormati semangat demokrasi.

Pengumuman tersebut sememangnya memberi nafas baharu kepada arena politik negara, selain memastikan konsep demokrasi diamalkan sepenuhnya di negara ini. Pastinya ia memberi kegembiraan dan kelegaan kepada warga pendidik yang cenderung untuk terlibat dalam kancah politik.

Jika sebelum ini minat mendalam terhadap politik tersekat, tetapi kini mereka dapat menikmati kebebasan selaku rakyat Malaysia untuk memilih parti yang dirasakan mampu menjadikan negara lebih baik.

Namun begitu, keputusan Ismail Sabri itu tidak disenangi aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye yang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu menimbulkan banyak kekeliruan.

Artikel Berkaitan:

Pada hemat Lam Thye, membenarkan warga pendidik berpolitik kurang sesuai dilaksanakan di negara ini.

Malah, katanya, Ismail Sabri tidak memberikan sebarang alasan meyakinkan untuk menarik semula larangan tersebut serta menimbulkan pelbagai tafsiran yang cenderung bersifat negatif.

Menurutnya, tugas seorang guru di dalam bilik darjah sudah membebankan dan banyak tugas serta tuntutan perlu dipenuhi, sekali gus memerlukan perhatian sepenuhnya.

Antara tugas seorang guru ialah menyampaikan ilmu, mengasuh dan mendidik pelajar untuk menjadi yang terbaik.

Turut menjadi kewajipan seorang pendidik ialah untuk membantu membentuk watak pelajar-pelajar, membina keyakinan dan mengamalkan nilai-nilai murni supaya mereka boleh menjadi warga Malaysia berkaliber, berkemampuan dan berintegriti untuk menyumbang kepada negara.

Melihat kepada kenyataan Lam Thye itu, sememangnya ada asas yang tersendiri. Guru-guru atau warga pendidik harus menyedari tugas hakiki mereka selaku pendidik anak bangsa tidak boleh sesekali dilupakan.

Terlibat aktif dalam politik tidak salah, namun janganlah sampai terleka sehingga ingin berpolitik secara keterlaluan. Tugas paling penting sebagai pendidik adalah ingin memastikan anak-anak didik mampu menjadi insan yang berguna kepada negara, bangsa dan agama.

Ketika berada di dalam kelas atau menunaikan tanggungjawab sebagai guru, ketepikan seketika soal politik, sebaliknya fokuslah kepada pendidikan pelajar-pelajar. Jaminan ini sememangnya antara perkara yang menjadi harapan besar ibu bapa sebaik mengetahui guru-guru kini sudah dibenarkan berpolitik.

Generasi hari ini bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Jika baik didikannya, Insya-ALLAH baiklah budi pekerti mereka. Sebagai pendidik, pastinya ibu bapa menaruh harapan yang cukup besar untuk mereka kerana sebahagian besar masa anak-anak berada di sekolah.

Maka, tanggungjawab dan amanah yang dipikul guru-guru sangatlah diperlukan tanpa mengira apa pun fahaman atau ideologi politik yang dipegang.

Sehubungan itu, manfaatkan sebaiknya kelonggaran yang diumumkan Perdana Menteri ini demi kebaikan bersama, dalam masa sama pelajar berpeluang mendapat pendidikan yang sebaiknya. Jangan korbankan masa depan anak-anak kerana politik.

*Nurul Huda Husain ialah Wartawan Sinar Harian