Rakyat Johor bakal boikot PRN?

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sah akan diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) dibubarkan pada Sabtu.

Pembubaran DUN dibuat selepas Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.

Bagi sesetengah pihak, pembubaran tersebut dilihat sebagai sesuatu yang tidak perlu dalam keadaan negara masih bertarung dengan penularan Covid-19 selain Johor juga sebelum ini dilanda banjir.

Justeru, timbul andaian akan berlaku boikot PRN Johor seperti yang terjadi ketika PRN Melaka November tahun lalu.

Pada PRN Melaka menyaksikan jumlah peratusan pengundian sebanyak 65.85 peratus atau 326,068 daripada 495,195 pengundi selepas ditutup pada jam 5.30 petang.

Jumlah itu adalah lebih rendah daripada jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meramalkan 70 peratus peratusan keluar mengundi.

Bagi Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berpendapat, kemungkinan krisis kepercayaan masyarakat Johor bakal memberi impak kepada peratusan keluar mengundi berikutan PRN bukanlah perkara penting selepas negeri itu dilanda musibah banjir.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di Johor masih terkesan dengan musibah yang melanda dan sudah pasti keputusan untuk keluar mengundi bukanlah sesuatu yang perlu diberi keutamaan.

Artikel Berkaitan:

Malah, faktor pengundi luar yang mungkin tidak akan mengambil cuti semata-mata balik mengundi juga berkemungkinan menjadi faktor peratusan keluar mengundi rendah.

Beliau juga menjelaskan isu mangsa banjir di Johor yang lambat mendapat bantuan ketika banjir turut akan mempengaruhi kepercayaan rakyat kepada pemimpin yang ada.

Semua parti perlu menyedari hakikat bahawa mereka perlu bekerja keras sekiranya mahu menagih undi rakyat sekali gus menarik mereka untuk keluar mengundi.

Jika tidak, PRN ini akan menjadi satu lagi bukti penolakan oleh rakyat sekali gus memberikan bayangan kemungkinan perkara sama terjadi pada PRU akan datang.