PRN Johor tiada kaitan dengan kluster mahkamah: Shahril

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat tiada kaitan dengan kluster mahkamah.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia tidak ada kena mengena dengan pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan badan kehakiman.

“Malah, bukankah pilihan raya satu amalan paling asas demokrasi dan justeru konsep pemisahan kuasa itu sendiri, yakni memberi mandat rakyat kepada badan legislatif?

“Tiada kena mengena langsung dengan mana-mana kes mahkamah. UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah masuk gelanggang dalam hampir semua Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN sebelum ini, tidak pula dikaitkan.

“Kenapa tiba-tiba sewaktu perlu berdepan PRN Johor sahaja dakwaan janggal seperti ini dikeluarkan? Melainkan sudah mula ada kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa PRN Johor diadakan atas usaha kluster mahkamah dan pendokong yang mahu mengalih perhatian daripada kes sedang dihadapi mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah menjelaskan kerajaan negeri itu berada dalam keadaan rapuh dan tidak stabil.

Tambahnya, itu adalah antara faktor utama yang dipertimbangkan semua pihak di Johor baik Istana, UMNO mahupun kerajaan negeri sebelum mengambil keputusan untuk membubarkan DUN.

Artikel Berkaitan:

“Kita terima keputusan ini dan berharap pilihan raya ini dapat memberi mandat baharu untuk kerajaan yang stabil, kukuh dan akan terus berkhidmat untuk rakyat.

“Namun, seperti mana-mana PRN sebelum ini, kita perlu sentiasa mengingatkan sesama kita tidak kiralah kestabilan atau kuasa yang dicari, jangan sesekali merosakkan segala usaha kita dalam memulihkan negara berikutan pandemik Covid-19,” ujarnya.