PRN Johor: Calon UMNO, BN akan terus ikut acuan 'WALI'

Ahmad (duduk tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor pada Ahad.
Ahmad (duduk tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon UMNO yang hendak diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu mempunyai ciri-ciri 'WALI' iaitu 'winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ciri 'WALI' itu ditetapkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada PRN Melaka sebelum ini.

"Kriteria calon UMNO serta Barisan BN pada PRN Johor akan ditetapkan mengikut acuan 'WALI' yang ditetapkan presiden parti.

"Itu antara kriteria yg disebut presiden sebelum ini dan ia akan terus diguna pakai pada PRN Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Retreat dan Gerak Gempur Jentera Kimma di Bangunan UMNO Johor, di sini, pada Ahad.

Hadir sama Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.

Pada Oktober lalu, Ahmad Zahid dilaporkan menggariskan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada PRN Melaka perlu mempunyai ciri ‘WALI’ iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’.

Beliau dilaporkan berkata, calon itu juga perlu memiliki sifat wali Allah iaitu mempunyai ilmu yang boleh diterima semua agama, kaum dan keturunan bagi rakyat Melaka.

Artikel Berkaitan:

Mengenai permintaan akar umbi UMNO terutama sayap Pemuda yang mahukan lebih banyak calon muda ditampilkan pada PRN Johor, Ahmad menegaskan ia masih belum diputuskan.

"Belum ada lagi keputusan akhir mengenai calon kerana ia akan diputuskan pimpinan tertinggi parti bersama pimpinan negeri.

"Namun seperti PRN Melaka, calon yang dikemukakan UMNO dan BN mempunyai kombinasi mereka yang berpengalaman serta muka baharu dalam kalangan orang muda.

"Tentunya akan ada kombinasi sama seperti di PRN Melaka," katanya.