Parti dijangka rangka strategi baru hadapi PRN Johor

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Khabar angin mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bertiup kencang baru-baru ini akhirnya menjadi kenyataan apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Perkara itu menyaksikan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.

Keputusan baginda Sultan itu dimeterai selepas berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene di sini, pada Sabtu.

Perkembangan tersebut bakal mewujudkan situasi politik yang lebih hangat kerana melibatkan persaingan parti-parti besar seperti UMNO, Pas, Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain.

Sudah tentu parti-parti berkenaan akan merangka strategi baru bagi menghadapi PRN di negeri Johor kali ini apatah lagi UMNO belum ada tanda-tanda untuk menjalin kerjasama dengan parti lain.

Pada Sabtu, Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa UMNO masih belum menerima permohonan Pas untuk bekerjasama dengan parti itu dalam PRN Johor.

Ahmad berkata, tiada permintaan secara rasmi daripada Pas atau parti lain yang bukan dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Keadaan itu sekali gus memperlihatkan seolah-olah UMNO tidak memerlukan sokongan Pas dalam menghadapi PRN tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di pihak Pas, parti itu bersedia untuk menyertai PRN Johor selepas pembubaran DUN Johor tersebut.

Setiausaha Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai sebuah parti lama, belum pernah pihaknya tidak mengambil bahagian dalam PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan di negara ini.

Ujar beliau, Pas akan mengadakan perbincangan mengenai PRN Johor dari segi persiapan dan sebagainya.

Meskipun parti-parti lain masih belum memaklumkan apa-apa perkembangan, namun sudah pastinya persiapan parti ke arah menghadapi PRN Johor sudah mula berjalan ketika ini.

Keputusan PRN Melaka yang lalu akan dijadikan sebagai pengajaran kepada parti-parti lain dalam melakukan perancangan bagi mendepani cabaran hebat PRN Johor.