Covid-19: Sabah rekod kluster kelima libatkan institusi pendidikan

Masidi
Masidi
A
A
A
KOTA KINABALU - Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan institusi pendidikan dengan kes indeks seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang dan tujuh kes positif yang dilaporkan daripada kluster itu setakat pada Sabtu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Bypass Kologon-Ranau adalah kluster kelima melibatkan penularan jangkitan di institusi pendidikan di negeri itu dalam tempoh seminggu sejak Ahad lepas.

Beliau berkata, kluster itu tercetus selepas kes indeks berusia 16 tahun yang merupakan pelajar yang tinggal di asrama sekolah terbabit disahkan positif Covid-19 pada 19 Jan sebelum enam individu lain turut dijangkiti wabak berkenaan.

“Kes indeks bergejala sejak 17 Jan dan kemudian melakukan ujian saringan kendiri pada tarikh sama. Sebaik didapati positif Covid-19, kes indeks memaklumkan kepada pihak sekolah dan terus dikuarantin sebelum dibawa ke klinik pada 19 Januari bagi melakukan saringan ulangan pengesahan serta disahkan positif.

“Saringan terhadap 70 kontak berjaya mengesan enam lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak tujuh kes. Semua kes dalam kategori ringan (satu dan dua) dan telah diasingkan serta diberi rawatan sesuai,” menurutnya dalam kenyataan malam Sabtu.

Sebelum ini, empat kluster melibatkan penularan jangkitan di institusi pendidikan di Sabah masing-masing dilaporkan di Putatan (Kluster Pandan-Pandan), Sandakan (Kluster Jalan Pertukangan), Ranau (Kluster Puri Ranau) dan Tambunan (Kluster Jalan Kepayan Lama).

Masidi, yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan Covid-19, berkata, sebanyak 218 kes baharu direkodkan pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif wabak itu meningkat kepada 245,473.

Beliau berkata, seramai 171 pesakit Covid-19 di Sabah sembuh dan dibenarkan keluar hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 237,684 orang manakala 687 pesakit masih menerima rawatan.

Katanya, satu kes kematian dilaporkan pada Sabtu di Papar. - Bernama
Artikel Berkaitan: