Khairy ketuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO

 Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland bermula Isnin ini hingga 29 Januari 2022.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), turut sama dalam delegasi tersebut ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai-pegawai kanan KKM.

“Mesyuarat Lembaga Eksekutif (Executive Board - EB) WHO merupakan mesyuarat berkala yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Kesihatan, Ketua Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

“Ia untuk membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang telah dipersetujui secara konsensus di bawah WHO,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam kenyataan itu juga memaklumkan, Malaysia telah dilantik sebagai ahli EB WHO mewakili Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region) bagi tempoh tiga (3) tahun bermula Mei 2021 hingga Mei 2024.

Menurutnya, Ahli Lembaga Eksekutif WHO di peringkat kementerian adalah Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Penyertaan Malaysia sebagai ahli Lembaga Eksekutif bagi rantau Pasifik Barat adalah penting kerana Mesyuarat EB WHO adalah platform menyediakan ruang bagi konsultasi dan perbincangan lanjut bersama ahli EB lain demi kepentingan sektor kesihatan sejagat.

“Selain itu, Malaysia juga akan mengetengahkan isu-isu kesihatan signifikan yang bukan sahaja melibatkan negara, malah negara anggota Rantau Pasifik Barat.

Artikel Berkaitan:

“Mesyuarat ini juga secara tidak langsung akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memperluaskan jaringan kerjasama dalam kalangan negara anggota di samping membincangkan kolaborasi yang berpotensi untuk dilaksanakan di rantau ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, KKM berkata, Menteri Kesihatan dijangka akan menyampaikan kenyataan negara (country statement) dan membuat intervensi ke atas agenda-agenda perbincangan pada mesyuarat tersebut.

“Antaranya termasuklah Global Strategy for Tuberculosis Research and Innovation, Immunisation Agenda 2030, WHO Global Strategy for Food Safety, dan Road Map for Neglected Tropical Disease 2021-2030.

“Komitmen Malaysia dalam menghadiri mesyuarat ini membuktikan kerajaan adalah konsisten dalam setiap kerjasama di peringkat antarabangsa.

“Selain menaikkan imej negara di persada global, kerjasama berterusan ini akan diterjemahkan sebagai usaha Malaysia dalam membangunkan sektor kesihatan secara holistik di dalam negara mahupun di Rantau Pasifik Barat,” jelasnya.