Fadillah ketuai delegasi Malaysia ke forum minyak sawit di Kenya

Fadillah Yusof - Foto Bernama.
Fadillah Yusof - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Malaysian Palm Oil Forum-East Africa Region 2023 di Nairobi, Kenya bermula 3 hingga 7 Julai ini.

Forum itu diadakan untuk meneroka potensi pengembangan eksport minyak sawit di pasaran Afrika Timur, di samping memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kenya dalam industri berkenaan.

Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, semasa di Kenya, Fadillah akan memberi ucaptama dan merasmikan forum tersebut, selain dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian Kenya dan Menteri Perdagangan Kenya serta pemain industri sawit.

"Mesyuarat yang akan diadakan itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Kenya serta meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak sawit di negara berkenaan,” menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan itu, Fadillah turut dijadual melawat kilang pemprosesan minyak sawit dan syarikat pengeluaran makanan utama di Kenya serta mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di negara itu.

Kementerian itu turut memaklumkan forum tersebut merupakan platform untuk mempamerkan kepakaran Malaysia dalam industri minyak sawit dan lawatan Fadillah memfokuskan komitmen negara dalam mempromosi pengeluaran minyak sawit mampan serta memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan Kenya dan negara Afrika lain. - Bernama.