X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Punca Harimau Malaya tak mengaum di Singapura

Dell Akbar
A
A

KETIDAKHARMONIAN dalam pasukan kebangsaan antara punca yang menyebabkan skuad Harimau Malaya gagal menyerlah pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu.

Perkara tersebut didedahkan Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya, Datuk Dell Akbar Khan yang berkata, terdapat tiga kumpulan yang memberi kesan kepada terhadap semangat berpasukan skuad kebangsaan.

“Faktor keharmonian di antara pemain-pemain tidak diberi perhatian serius. Kehadiran pemain naturalisasi yang gagal beraksi baik mencipta tekanan tambahan kepada kumpulan pemain-pemain lain.

“Selain itu timbul juga isu yang mengatakan kewujudan tiga kelompok pemain iaitu lokal, naturalisasi dan kacukan. Perkara itu diberitahu ketika sesi wawancara tempoh hari.

“Apabila wujud tiga kumpulan ini, ia tidak bagus untuk team spirit dalam satu pasukan kerana ada kelompok sendiri,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal pertama 2021-2025 pada Jumaat.

Selain itu, tambah Dell Akbar lagi, ketiadaan beberapa pemain utama dan penularan Covid-19 serta kurang persiapan termasuk pemilihan pemain naturalisasi turut menyumbang kepada punca kegagalan pasukan kebangsaan dalam kejohanan dwi tahunan tersebut.

“Penetapan sasaran yang dilakukan secara sendirian atau ‘silo’ oleh pengurus pasukan menjadi satu bentuk tekanan kepada pasukan kejurulatihan dan pemain-pemain sehingga menyebabkan Harimau Malaya gagal beraksi dengan baik pada kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020.

“Pemilihan pemain-pemain yang tidak bersedia untuk menangani tuntutan permainan di peringkat lebih tinggi dan juga aspek fizikal (physical conditioning) yang terhad mengakibatkan pemain-pemain kelihatan tenggelam ketika pertemuan menentang Vietnam dan Indonesia.

“Percaturan taktikal dengan memaksa pemain menyesuaikan diri dalam keadaan formasi berbeza menyumbang kepada kegagalan pasukan kebangsaan selain ketiadaan persediaan awal dari segi rancangan pemakanan dan nutrisi yang terancang untuk pemain-pemain ketika di Singapura,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dell Akbar berkata, pihaknya kecewa dengan laporan yang diterima daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah, beliau juga mendedahkan, pihaknya tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada individu tertentu terutama membabitkan bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk melengkapkan siasatan badan tersebut.

Justeru katanya, pihaknya tidak dapat menyediakan laporan lengkap terutama membabitkan aspek teknikal untuk memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan terperinci disebabkan kekangan tersebut.

“Apa maklumat yang saya dapat tidak banyak membantu daripada segi temu duga dengan individu tertentu. Malah, daripada apa yang saya boleh dirumuskan adalah amat mengecewakan.

“Ia bukan laporan yang saya jangkakan kerana tidak menyeluruh iaitu tidak banyak mengenai aksi Piala Suzuki AFF 2020 dan isu teknikal hingga menyebabkan kegagalan itu,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!