‘Saya tunggu laporan Harimau Malaya’

Skuad Harimau Malaya tersingkir seawal peringkat kumpulan pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu. - Foto FB FAM (Gambar kecil: Dell Akbar)
Skuad Harimau Malaya tersingkir seawal peringkat kumpulan pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu. - Foto FB FAM (Gambar kecil: Dell Akbar)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta segera menyerahkan laporan prestasi skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 kepada Datuk Dell Akbar Khan.

Dell Akbar berkata, proses bedah siasat mengenai kegagalan Harimau Malaya di Singapura hanya boleh bermula selepas beliau menerima laporan penuh daripada badan induk itu.

“Setakat ini, saya tak ada maklumat (laporan) tentang pasukan kebangsaan. Sebelum memulakan post mortem (bedah siasat), saya perlu membaca dahulu laporan yang dibuat daripada jurulatih dan pengurus pasukan kebangsaan.

“Maklumat itu penting supaya saya boleh bayangkan apa yang dah berlaku serta apa yang telah FAM rancang. Saya sendiri juga belum ada apa-apa perancangan.

“Jadi saya akan minta kepada pihak pengurusan FAM untuk memberikan pencerahan sebelum proses bedah siasat itu dapat dijalankan nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada Jumaat, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan penubuhan badan siasatan bebas pasukan Harimau Malaya yang dianggotai individu daripada luar badan induk itu.

Menurut Hamidin, Dell Akbar yang juga bekas pemain kebangsaan dan pernah memegang portfolio Setiausaha Agung FAM dilantik mengetuai badan siasatan bebas berkenaan.

Malah, beliau memaklumkan, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu diberi mandat melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas itu yang terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dell Akbar mengesahkan beliau telah menyatakan persetujuan kepada pengurusan FAM untuk mengetuai badan siasatan bebas itu.

“Cuma mungkin ada sedikit salah faham, saya tidak melantik anggota badan siasatan bebas ini, itu semua kerja FAM. Rasanya surat tawaran juga telah dihantar kepada individu-individu berkenaan.

“Diharapkan semua individu berkenaan segera memberikan jawapan terhadap pelantikan itu. Saya tidak tahu siapa ahli-ahli badan siasatan bebas ini. Harap FAM dapat membantu bagi memastikan badan siasatan bebas ini berfungsi,” ujarnya.

Pada masa sama, Dell Akbar mengakui tanggungjawabnya dalam mengetuai badan siasatan bebas itu agak berat bagi memastikan objektif ditetapkan FAM mampu dicapai.

“Saya akan cuba galas amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin. Saya berharap siapa juga yang dilantik bagi membantu saya akan dapat memberikan kerjasama yang baik,” jelasnya.