JIPS boleh siasat dakwaan rasuah judi babitkan ketua polis daerah

Mior Faridalathrash (tiga, kanan) bersama penerima PJPN yang disampaikan sempena Program High Profile Policing (HPP) Solat Jumaat Polis Perak bersama penduduk Lubuk Merbau di Masjid Jamek Al-Marbawi di Kuala Kangsar, pada Jumaat.
Mior Faridalathrash (tiga, kanan) bersama penerima PJPN yang disampaikan sempena Program High Profile Policing (HPP) Solat Jumaat Polis Perak bersama penduduk Lubuk Merbau di Masjid Jamek Al-Marbawi di Kuala Kangsar, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis Perak minta campur tangan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menyiasat dakwaan rasuah membabitkan ketua polis di sebuah daerah bagi melindungi kegiatan judi yang tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan itu sama ada benar atau sebaliknya.

Menurutnya, mereka dimaklumkan mengenai dakwaan tersebut dimuat naik di Twitter pada Khamis selain mengesahkan dakwaan sama berulang kali tular di media sosial.

"Memang dah tular di media sosial tetapi kita tidak tahu sejauh mana kesahihannya betul ke tidak.

"Kalau betul maklumat itu, maka saya buka kepada pihak JIPS menyiasat dakwaan yang tular di media sosial itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program High Profile Policing (HPP) Solat Jumaat Polis Perak bersama penduduk Lubuk Merbau di Masjid Jamek Al-Marbawi di sini, pada Jumaat.

Perkongsian yang dimuat naik di Twitter itu mendakwa bahawa mana-mana tauke yang mahu membuka premis perjudian boleh menghubungi ketua polis daerah terbabit untuk berunding bayaran bulanan.

Mior Faridalathrash berkata, kemungkinan dakwaan dibuat itu ada kaitan dengan penguatkuasaan tegas yang diambil oleh ketua polis terbabit dalam membanteras kegiatan haram di daerah itu.

Katanya, daerah berkenaan sehingga kini telah mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti perjudian di kawasan itu termasuklah pelacuran, kongsi gelap dan terbaru kegiatan bitcoin.

Artikel Berkaitan:

"Ramai pegawai dan anggota polis yang ditularkan dengan maklumat sebegitu. Kita tidak tahu kesahihannya.

"Setakat ini saya boleh sahkan daerah tersebut telah mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti haram di kawasan itu. Kita tahu tindakan diambil ketua polis daerah itu berkesan bermakna dia 'all out against' kegiatan judi haram di situ," katanya.

Sempena program HPP itu, Mior Faridalathrash menyampaikan khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk 'Berwaspada dengan sindiket Penipuan'.

Beliau turut menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) tanpa istiadat kepada lima penerima kalangan pesara polis, bekas polis dan petugas era darurat Kontinjen Perak.

Mereka yang menerima PJPN ialah Sub Inspektor (B) Mohammad Azraii Alias, Sarjan Mejar (B) Mohd Daud Ahmad, Sarjan (B) Abu Mat Sarif Pandak Karim, Koperal (B) Mustapha Kamil Abu Johor dan Koperal (B) Abdul Jalil Mohd Said masing-masing telah berkhidmat dalam polis antara 34 hingga 40 tahun.