BAM diminta semak semula kontrak pemain

Roslin
Roslin
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) digesa untuk menyemak semula klausa dalam kontrak mana-mana pemain di bawah badan induk itu yang mahu meneruskan karier secara profesional.

Perkara itu ditegaskan bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim yang mendakwa polisi BAM ketika ini agak longgar sehingga menyebabkan pemain sewenangnya-wenangnya keluar daripada badan induk badminton negara itu.

Menurut Roslin, bukan sesuatu yang mengejutkan jika perkara sama terus berulang dan hanya akan merugikan BAM sekiranya perkara berkaitan polisi itu tidak dipandang serius.

“Saya tidak tahu bagaimana polisi (klausa) BAM sekarang.

Tetapi ketika saya keluar daripada BAM pada hujung tahun 1996, saya terpaksa membayar pampasan berjumlah RM68,000 yang mana persetujuan itu tidak ada dalam kontrak saya.

“Tapi apa yang saya dengar, pemain-pemain yang keluar BAM sebelum ini seperti Cheam Jun Wei, Tan Kian Meng dan Goh Jin Wei tidak ada bayaran yang dikenakan kepada mereka.

“Kenapa tiba-tiba bila Zii Jia keluar (BAM), baru BAM nak adakan benda itu semula.

Jadi saya rasa BAM kena semak perkara ini jika mereka tidak mahu rugi pada masa akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu ada menerima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia pada 11 Januari lalu.

Zii Jia mengejutkan arena badminton negara apabila menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lalu.
Zii Jia mengejutkan arena badminton negara apabila menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lalu.

Namun, keputusan sama ada BAM menerima atau sebaliknya peletakan jawatan berkenaan hanya akan diumumkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos pada Jumaat.

Dalam pada itu, Roslin turut mencadangkan supaya pemain yang keluar daripada BAM dikenakan penggantungan daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa.

Beliau menegaskan, bayaran pampasan sahaja tidak memadai bagi 'mengikat' mana-mana pemain untuk terus kekal berada di bawah naungan BAM.

“Kalau BAM suruh bayar pampasan, saya rasa kalau pemain itu ada penaja yang hebat, ia bukanlah satu masalah besar buat mereka untuk bayar balik.

“Jadi saya rasa jalan terbaik adalah mengenakan hukuman gantung tidak boleh menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa atau tempatan bagi tempoh tertentu, BAM kena buat.

“Saya bimbang kalau perkara ini tidak diberi perhatian, lebih ramai pemain yang akan bertindak meninggalkan BAM. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku sehingga menjadi budaya,” tegasnya.