X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Kemelut BAM, Zii Jia perlu diselesai cara baik: Chong Wei

Chong Wei (kiri) mahu isu antara Zii Jia dan BAM diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak tanggapan negatif.
A
A

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dapat diselesaikan secara baik.

Pemenang pingat perak pada tiga temasya sukan Olimpik itu berkata, berita mengenai keputusan Zii Jia untuk meninggalkan BAM telah menjadi antara topik berprofil tinggi yang menjadi tumpuan peminat seluruh dunia.

Beliau berkata, isu yang berpanjangan tidak memberi kebaikan, sebaliknya boleh mencetuskan tanggapan negatif peminat luar terhadap nama baik badminton tanah air, yang merupakan antara sukan utama di Malaysia.

"Tidak hanya di Malaysia, satu dunia pun tahu berita ini. Saya juga rasa perkara ini tidak begitu bagus untuk skuad badminton kebangsaan. Saya harap boleh cepat diselesaikan dan fokus kepada badminton. Jangan sampai jadi besar sangat,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Pada Rabu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia membuat keputusan meninggalkan badan induk itu untuk bergerak sebagai pemain bebas dan telah menghantar surat peletakan jawatan pada 11 Januari lepas.

Mohamad Norza berkata, BAM telah mengadakan beberapa perbincangan dengan juara All England 2021 itu bagi memujuk Zii Jia untuk kekal, namun pemain berusia 23 tahun itu tetap dengan pendiriannya.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, antara faktor Zii Jia ingin keluar adalah beliau bukan Chong Wei, tidak boleh tahan tekanan dan mahu mencapai apa yang diinginkan sendiri dengan ruang tanpa kekangan.

BAM dijangka mengumumkan keputusan berhubung kata putus Zii Jia itu pada Jumaat.

Sementara itu, Chong Wei berkata, perjalanan sebagai pemain bebas tidak mudah dari aspek venue latihan, pemilihan jurulatih dan program pemulihan apabila kesemua itu perlu diuruskan secara sendiri tidak seperti di BAM, yang menyediakan segala elemen berkenaan.

Menurut Chong Wei, BAM antara organisasi yang mempunyai infrastruktur latihan serba lengkap dan terbaik.

"Tetapi dia (Zii Jia) mesti sudah ada perancangan sendiri dan paling penting sekali adalah keputusan, tak kisah sama ada dalam (BAM) ke, atau di luar, apa yang penting dia selesa untuk beraksi pada tahap terbaik, tetapi perkara ini bukan mudah,” katanya.

Zii Jia mengharungi musim 2021 dengan prestasi tidak konsisten bermula dengan persembahan hambar di tiga kejohanan di Thailand sebelum mencipta sensasi muncul juara All England pada Mac.

Zii Jia kemudian membuat penampilan sulung di spentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan pemain kelahiran Kedah itu tewas di pusingan 16 terbaik kepada juara Olimpik Rio 2016 dari China, Chen Long.

Selepas membantu skuad negara meraih gangsa Piala Sudirman, Zii Jia berdepan masalah keletihan dan kecederaan dalam beberapa kejohanan disertai, termasuk terpaksa menarik diri pada kejohanan Indonesia Master di Bali dan Kejohanan Dunia BWF di Huelva, Sepanyol. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!