Covid-19 Kelantan: Tujuh kluster libatkan sekolah

Dr Zaini Husin
Dr Zaini Husin
A
A
A

KOTA BHARU - Kes jangkitan Covid-19 di Kelantan meningkat sejak Selasa membabitkan 360 kes dengan 22 kluster aktif.

Tiga kluster baharu turut dilaporkan pada Khamis iaitu Kluster Jalan Kompleks, Kluster Jalan Bukit Merbau dan Kluster Lorong Banggol Manok.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, tujuh daripada 22 kluster yang aktif pula melibatkan pelajar sekolah.

“Kluster tersebut ialah Kluster Embi Telipot, Kluster Pulau Melaka, Kluster Padang Raja, Kluster Jalan Bandar Chiku, Kluster Jalan Kompleks, Kluster Jalan Bukit Merbau dan Kluster Lorong Banggol Manok,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, sehingga kini, Kelantan mencatatkan 3,719 kes aktif dalam tempoh 14 hari manakala 17,0960 kes pula tamat 14 hari dan kes kumulatif keseluruhan sebanyak 174,679 kes.

Beliau berkata, Kota Bharu mencatatkan kes jangkitan tertinggi iaitu lebih 165 kes, Pasir Mas (lebih 42), Tanah Merah (lebih 35) Pasir Puteh (lebih 35) dan daerah lain (bawah 20).

Dr Zaini turut menasihatkan ibu bapa supaya melakukan pemeriksaan terhadap anak-anak terutama yang mempunyai simptom Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Ibu bapa yang masih belum mendapatkan dos penggalak digalakkan berbuat demikian selain patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan menggunakan pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga penjarakan,” katanya.