Ahli Parlimen kemuka pelbagai cadangan tangani bencana banjir

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil peluang melontarkan pelbagai cadangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan bencana banjir bagi mengelak berulangnya kejadian banjir penghujung tahun lalu yang mengorbankan 55 nyawa selain memusnahkan harta benda.

Antara cadangan tersebut ialah pembinaan terowong SMART kedua, mengadakan penempatan semula, mewujudkan sistem ramalan cuaca lebih canggih serta jawatankuasa bagi melihat perubahan iklim.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) memohon kerajaan mengkaji keperluan membina terowong SMART kedua di kawasan Lembah Klang untuk menyelesaikan masalah banjir.

Beliau berkata, selain menyuraikan trafik, terowong tersebut disifatkan berkesan untuk meminimumkan impak banjir di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

"Selain itu, konsep DLL (dalamkan, luruskan, lebarkan) sungai-sungai di kawasan banjir perlu dibuat supaya sistem aliran air dapat ditambah baik,” katanya ketika berbahas pada Mesyuarat Khas berkenaan bencana banjir di Dewan Rakyat pada Khamis.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) pula mencadangkan supaya dilakukan penempatan semula penduduk di kawasan yang sering terdedah banjir.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan meskipun bukan mudah dilakukan kerana pelbagai halangan termasuk memperoleh persetujuan penduduk untuk berpindah.

"Ini bukan mudah tetapi pihak kerajaan dan pihak bertanggungjawab perlu berusaha ke arah itu untuk melakukan penempatan semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mencadangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memperkemas pembangunan dan penyelidikan untuk berdepan dengan kemungkinan cuaca lebih ekstrem pada masa depan dan mempelbagaikan kaedah penyampaian kepada rakyat.

"Mungkin sudah sampai masanya negara perlu sistem yang lebih canggih bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewajibkan takaful untuk banjir bagi setiap kenderaan memandangkan buat masa sekarang takaful banjir bagi kenderaan adalah secara 'add on' atau pilihan.

"Tentunya ia akan membebankan pengguna akibat kenaikan jika dilaksanakan, oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan menanggung penambahan ini untuk golongan B40 dan M40,” katanya.

Dalam pada itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) mencadangkan supaya pengurusan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat dan pengurusan pemulihan diserahkan kepada kerajaan negeri dengan memberikan peruntukan secara tahunan.

"(Peruntukan) RM100 juta kepada setiap negeri ataupun 20 peratus daripada sumbangan cukai negeri tersebut, ini membolehkan kerja-kerja penyelamatan dijalankan dengan cepat," katanya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) pula mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas Parlimen berkenaan perubahan iklim di negara ini.

"Ini supaya kerajaan dan pembangkang dapat duduk bersama meneliti isu pembangunan bajet bagi membantu menteri dalam penyelesaian seperti nak capai Neutral Karbon 2050," katanya. -Bernama