Pekerja putus jari, syarikat logam didenda RM20,000

Sebuah syarikat pembuatan berasaskan logam didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini pada Khamis kerana gagal memastikan keselamatan pekerjanya apabila seorang daripada mereka putus sebahagian jari tangan. - Gambar hiasan
Sebuah syarikat pembuatan berasaskan logam didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini pada Khamis kerana gagal memastikan keselamatan pekerjanya apabila seorang daripada mereka putus sebahagian jari tangan. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Sebuah syarikat pembuatan berasaskan logam didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini pada Khamis kerana gagal memastikan keselamatan pekerjanya apabila seorang daripada mereka putus sebahagian jari tangan.

Syarikat MSBB Engineering Sdn Bhd didakwa di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.

Menerusi kertas pertuduhan, syarikat berkenaan sebagai majikan gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja iaitu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja pengendalian jentera 'surface planer' sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada pekerja warga tempatan, Muhammad Shazrin Muhammad Faisal,19.

Kejadian yang berlaku pada pada jam 8.40 pagi,19 Mac 2021 itu menyebabkan mangsa mendapat kecederaan akibat terkena mata ketam yang berputar ketika menjalankan kerja-kerja mengetam kayu menggunakan mesin 'surface planer'.

Berdasarkan fakta kes, Muhammad Shazrin kemudian dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan dan disahkan putus sepenuhnya hujung ruas jari telunjuk dan tisu terpotong pada hujung jari tengah di tangan kiri mangsa.

Mengikut pertuduhan, kesalahan di bawah seksyen tersebut memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, syarikat yang diwakili Pengarah Urusan, Liew Chee Weng sebagai majikan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda RM20,000 atas kesalahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Mohd Shazami Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.