Usaha tubuh jawatankuasa antirasuah Dewan Negara, Rakyat

 Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan satu jawatankuasa bersama mengenai integriti dan antirasuah membabitkan Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan diusahakan dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, pihaknya telah berunding dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tentang perkara terbabit dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan.

"Mengambil perhatian pada masa ini, hanya Dewan Negara yang telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah pengawasan Parlimen, Rais berkata ia akan dibincang dan diperhalusi bersama kedua-dua dewan menerusi pentadbiran yang dipertua masing-masing.

Tambahnya, Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Dewan Negara pada Khamis berpandangan bahawa perkara tersebut perlu disegerakan memandangkan isu-isu berkenaan tadbir urus, integriti dan antirasuah kini meningkat dan kebanyakan suara menjurus kepada sokongan syor terbabit.

"Usaha-usaha dan kempen-kempen antirasuah dalam negara ini amat penting dan perlu melibatkan ahli-ahli politik. Sebelum ini, hanya melibatkan dan terdiri daripada golongan bukan politik," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa yang dipengerusikan olehnya itu juga berpendapat bahawa pihak-pihak yang memberi rasuah perlu disiasat dan diambil tindakan yang setimpal.

"Dan tidak hanya mereka yang menerima habuan sahaja yang diambil tindakan dan dituduh," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut mengambil maklum tentang imej negara dipudarkan lantaran kes-kes rasuah yang meningkat akhir-akhir ini dan langkah wajib perlu diambil bagi memperbaiki imej negatif ini.