Lipat ganda perjuangan antirasuah

Muhammad Nasir Hamzah
Muhammad Nasir Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Perjuangan antirasuah serta menyebar mesej membenci rasuah akan terus dilipat ganda demi memastikan negara bebas daripada malapetaka serta kemusnahan besar akibat amalan jijik itu.

Penasihat Projek Rasuah Busters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, semua pihak harus berganding bahu dan berusaha menentang perbuatan rasuah demi menyelamatkan Malaysia daripada menuju kehancuran.

Menurutnya, atas dasar serta kepentingan umum tersebut, Rasuah Busters akan terus mengorak langkah dan memperjuangkan agenda memerangi rasuah dalam kalangan masyarakat terutama di peringkat akar umbi.

"Program Konvoi #RasuahBusters adalah sebahagian daripada usaha pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan dalam menyebarkan mesej antirasuah kepada orang ramai.

"Setelah berjaya melaksanakan siri pertama Konvoi #RasuahBusters di Lembah Klang baru-baru ini, misi diteruskan ke Negeri Sembilan dan Melaka.

"Saya berharap usaha murni ini bukan sahaja akan mengeratkan ukhwah dan menyedarkan orang ramai di dua-dua negeri itu, sebaliknya mampu memberi kesan kepada seluruh masyarakat berbilang bangsa di negara ini," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Kru Rasuah Busters mengenai Konvoi #RasuahBusters ke Negeri Sembilan dan Melaka di Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Nasir berkata, masalah rasuah bukan isu sesetengah golongan rakyat, tetapi ia merupakan isu menyeluruh yang memberi kesan besar kepada negara.

Menurutnya lagi, permasalahan berhubung gejala rasuah bukan sahaja melibatkan kumpulan teknokrat serta pentadbir awam, malah telah merebak ke seluruh anggota masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, perjuangan menghapuskan rasuah perlu direalisasikan oleh semua pihak biarpun usaha itu terpaksa memakan masa yang panjang.

"Maka penyertaan orang ramai untuk bersama-sama dengan Konvoi #RasuahBusters di Negeri Sembilan dan Melaka adalah satu misi penting.

"Kita seharusnya berusaha menghapuskan rasuah di peringkat kita terlebih dahulu sebelum bergerak ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau bersyukur apabila usaha Rasuah Busters mendapat sambutan baik dan sangat menggalakkan daripada orang ramai terutama di peringkat akar umbi.

Penyelaras Belia, Simon Teo dan Setiausaha Penyelaras Belia, Jenisse Lim (kanan) dari Universal Peace Federation (UPF) Malaysia menyampaikan sumbangan beras yang akan diberikan kepada mangsa banjir yang akan disantuni sepanjang Konvoi #RasuahBusters di Negeri Sembilan dan Melaka.
Penyelaras Belia, Simon Teo dan Setiausaha Penyelaras Belia, Jenisse Lim (kanan) dari Universal Peace Federation (UPF) Malaysia menyampaikan sumbangan beras yang akan diberikan kepada mangsa banjir yang akan disantuni sepanjang Konvoi #RasuahBusters di Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya, usaha yang digerakkan itu bukan sahaja telah berjaya memberi kesan kepada rakyat dan kerajaan, malah banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan sokongan penuh terhadap dedikasi Rasuah Busters bersama rakan gabungannya.

"Pasukan Rasuah Busters telah mendapat sokongan padu daripada banyak pihak serta NGO di negara ini, selain bertekad menentang dan menghapuskan budaya rasuah daripada terus membarah.

"Untuk itu, saya sangat berharap semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu menjayakan usaha memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Tambahnya, diharap usaha sama daripada semua pihak tersebut akan membersih imej negara daripada terus dikecam dengan isu-isu rasuah dan kes berprofil tinggi.

Tegasnya, seluruh rakyat sangat berharap agar Malaysia kembali dihormati sebagai sebuah negara yang bebas daripada rasuah.

"Negara-negara luar yang dahulunya kuat dengan isu rasuah telah berjaya dipulihkan daripada ancaman jijik tersebut menerusi pelaksanaan undang-undang yang tegas.

"Maka kita seluruh rakyat Malaysia juga inginkan perkara yang sama. Untuk itu, kita semua perlu berganding bahu dan pihak berkuasa pula melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab, telus serta amanah," katanya.