KPDNHEP Terengganu rekod 668 kes pelbagai kesalahan sepanjang 2021

Saharuddin Mohd Kia. - Foto: Bernama
Saharuddin Mohd Kia. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merekodkan sebanyak 668 kes pelbagai kesalahan hasil 51,160 pemeriksaan yang dijalankan sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, semua kesalahan berkenaan melibatkan nilai rampasan barangan sebanyak RM1.27 juta dan kompaun bernilai RM189,750.

Beliau berkata, antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah berkaitan pelanggaran Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan 266 kes, diikuti 215 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Katanya, KPDNHEP Terengganu turut merekodkan 116 kesalahan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Setiap hari, KPDNHEP Terengganu sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan harga barangan di seluruh negeri dan kita turut bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan yang lain untuk mengadakan operasi secara berkala.

"Pemeriksaan mengejut turut diadakan sekiranya kita mendapat aduan daripada orang ramai mengenai sesuatu isu berkaitan kepenggunaan seperti kenaikan harga barang melampau atau ketiadaan stok di pasaran," katanya.

Orang ramai digalakkan membuat laporan di portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, melalui e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi Telefon Pintar EzADU, whatsapp ke 019-2794317 atau di Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu untuk membolehkan siasatan terperinci dilakukan, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: