Muzium Bukit Besi catat 16,000 pengunjung

Muzium Bukit Besi.
Muzium Bukit Besi.
A
A
A

DUNGUN - Muzium Bukit Besi, sebuah muzium memaparkan sejarah perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara mencatatkan kehadiran hampir 16,000 pengunjung sejak ia mula dibuka kepada orang awam pada 15 Oktober lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris berkata, pada tahun ini seramai 36,500 pengunjung dijangka mengunjungi Muzium Bukit Besi bagi melihat lebih dekat sejarah perlombongan bijih besi.

Bagi mencapai sasaran itu menurutnya, pelbagai aktiviti menarik sudah dirancang antaranya program bersama pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui Program Jom Ke Muzium sebagai pendedahan sejarah kepada generasi muda.

“Aktiviti lain akan dibuat adalah jejak warisan sejarah Bukit Besi melibatkan persatuan sejarah bersama komuniti dan program bersama media yang bakal menceritakan sejarah terbilang Bukit Besi,” katanya pada Rabu.

Razali berkata, fokus Ketengah bukan hanya tertumpu kepada sejarah perlombongan bijih besi sebaliknya turut mengangkat nilai sejarah lain yang terdapat di dalam wilayah Ketengah seperti kubu Mat Kilau dan pokok chengal gergasi.

Katanya, sejarah pembinaan Tasik Kenyir, kewujudan Ketengah dan khazanah peninggalan lain yang mempunyai daya tarikan tersendiri turut ditonjolkan kepada pengunjung.

“Selain itu, kita turut membina beberapa gerai perniagaan di sekitar muzium untuk membantu masyarakat kampung menjana ekonomi keluarga masing-masing melalui kehadiran pelancong ke Bukit Besi.

“Kemasukan ke Muzium Bukit Besi masih lagi percuma sehingga Jun nanti dan saya harap orang ramai dapat mengambil peluang ini membawa keluarga masing-masing ke Bukit Besi menikmati nilai sejarah di sini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muzium Bukit Besi menghimpunkan koleksi khazanah dan maklumat lengkap perlombongan bijih besi di kawasan tersebut yang pernah beroperasi hampir 60 tahun bermula tahun 1916.

Sewaktu zaman kegemilangannya, Bukit Besi muncul antara bandar paling maju di Terengganu dengan lengkap infrastruktur sebelum operasi perlombongan bijih besi ditutup sepenuhnya pada tahun 1971.

Antara monumen menarik yang terdapat di muzium untuk pengunjung mengimbau kembali sejarah perlombongan bijih besi adalah Stesen Crushing Plant, Stesen Opal, Stesen Kolam Renang, Stesen Simpan Bahan Letupan dan Stesen Chimney.