RUU Kebebasan Maklumat perlu utamakan ketelusan, kerahsiaan – Rasuah Busters

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat seharusnya menjadi satu bentuk reformasi yang mengutamakan prinsip ketelusan dan kerahsiaan adalah secara pengecualian.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, RUU Kebebasan Maklumat itu sepatutnya memberi peluang kepada rakyat untuk terlibat secara aktif dalam memperkukuh usaha antirasuah, meningkatkan integriti dan memperbaiki tadbir urus.
“Fasal 6 mengehadkan tujuan permohonan kepada kategori tertentu seperti pembetulan maklumat peribadi, penyelidikan bukan komersial, media dan keadaan apabila pemohon mempunyai kepentingan yang wajar dan nyata serta telah terjejas.
"Rasuah Busters, sebuah gerakan yang dekat dengan rakyat, kami melihat sekiranya terdapat peruntukan dalam undang-undang ini yang menyebabkan orang awam teragak-agak untuk mendapatkan maklumat, perkara ini perlu diteliti semula kerana hak akses akan menjadi purpose-based, sedangkan sifat sesuatu maklumat tidak berubah berdasarkan identiti atau motif pemohon. Ia boleh menyukarkan penyiasatan awal rasuah kerana pemohon mungkin belum mengetahui salah laku yang hendak dibuktikan.
“Kami mencadangkan RUU ini harus diteliti semula kerana ia sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat bergerak ke hadapan bersama-sama secara bertanggungjawab dalam mencegah rasuah dan menghentikan perlakuan salah laku melalui maklumat yang diperoleh. Tujuan untuk sebarang tindakan lanjut boleh jadi hanya timbul setelah maklumat diperoleh.
"Di sini pentingnya “transparency by default dan secrecy by exception”. Jadi, persoalannya adakah pemohon perlu menyatakan tujuan secara khusus sebelum maklumat itu boleh diperoleh?" katanya pada Sesi Pendengaran Awam (National Town Hall) Mengenai Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat 2026 di Parlimen, di sini pada Isnin.
Dalam sesi tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU Kebebasan Maklumat 2026 masih memerlukan penambahbaikan menyeluruh sebelum ia dimuktamadkan dan pihaknya dalam proses penelitian.
Menurut beliau, pihaknya bukan sahaja melihat dari sudut teks tetapi aspek praktikal, mekanisme aplikasi yang jelas serta mudah dilaksanakan di pelbagai peringkat kerajaan.
"Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) terbuka mendengar segala pandangan, kritikan serta maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil dan pihak media.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya melihat perkara ini daripada satu prinsip yang mudah. Ini kerana undang-undang yang baik bukan hanya mempunyai niat yang baik. Ia juga harus mempunyai tuntutan yang jelas dan mekanisme aplikasi yang dapat difahami," katanya.
Nurhayati turut berkata, sekiranya RUU itu dipinda, ruang yang mencukupi perlu diberikan kepada pihak berkepentingan untuk meneliti sama ada cadangan dan penambahbaikan yang dikemukakan telah dimasukkan.
“Kami juga berharap sekiranya RUU ini dipinda, akan ada ruang dan tempoh masa yang mencukupi untuk pihak berkepentingan meneliti sama ada input yang dikemukakan, termasuk dalam JKPK, telah dimasukkan atau ditambah baik.
“Kita mahu RUU ini diluluskan sebagai satu akta yang benar-benar mencapai tujuan asalnya, iaitu memperkukuh ketelusan, meningkatkan integriti dan memberi ruang kepada rakyat untuk bersama-sama mencegah rasuah," katanya.
Sementara itu, Azalina turut memaklumkan RUU itu sudahpun dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu dan dirujuk kepada JKPK pada 14 Julai lepas.
Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai maklum balas terhadap RUU berkenaan dan mengambil maklum perkara yang perlu diperbaiki.
Katanya, antara isu utama yang menjadi tumpuan dalam sesi penelitian itu merangkumi skop maklumat yang wajar diakses oleh orang awam, kebebasan pihak media, proses permohonan yang lebih praktikal, mekanisme mencabar atau penyemakan keputusan penolakan serta perlindungan sewajarnya kepada agensi awam.
"RUU ini hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan di Parlimen. Namun kerjasama erat pelbagai pihak termasuk pembangkang dan pemegang taruh penting bagi memastikan reformasi institusi negara ini benar-benar membawa kesan bermakna," katanya.
Sementara itu, sesi pendengaran hari ini diadakan bagi memperluas penyertaan pihak berkepentingan dan masyarakat awam dalam proses penelitian RUU berkenaan.
Ia bagi memastikan isu-isu utama berkaitan kerangka RUU itu dipertimbangkan secara menyeluruh, sebelum syor dan pandangan jawatankuasa dimuktamadkan.
Penggubalan RUU Kebebasan Maklumat 2026 adalah antara komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Hadir sama dalam dalam sesi berkenaan termasuk wakil NGO, pelajar universiti dan kakitangan kerajaan daripada pelbagai kementerian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

