STL: Melaka Titans tekad bangkit

Akramuddin
Akramuddin
A
A
A

MELAKA Titans nekad mendominasi saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang bermula 1 hingga 6 Februari lalu selepas tersungkur ke Liga Divisyen Satu.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, Melaka Titans juga akan memastikan berada di tahap memuaskan pada tahun ini termasuk melangkah ke perlawanan akhir dan seterusnya kembali ke Liga Premier 2022.

"Itu mungkin kealpaan kami sebagai ahli jawatankuasa persatuan sehingga tidak memberi fokus terhadap Melaka Titans dan akhirnya kalah pada peringkat separuh akhir dan turun ke Liga Divisyen Satu.

"Saya akui ini kealpaan pihak jawatankuasa dalam mengurus tadbir pasukan yang pada satu masa berada pada tahap memuaskan. Saya minta maaf kepada peminat," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain STL Melaka bagi musim 2021/2022 di sini malam tadi.

Demi sasaran tersebut, pasukan itu kini menampilkan barisan pemain yang lebih ampuh dan berpengalaman termasuk pernah mewakili negeri lain sama ada Liga Premier atau Divisyen Satu.

Kekal di bawah kendalian ketua jurulatih Riduan Ramli, Melaka Titans kali ini diperkuat dengan kehadiran Mohd Zarlizan Zakaria sebagai ketua pasukan dan Muhammad Umar Mohammad yang bermain di posisi apit kiri.

Mohd Fadzil Baharudin, Muhamad Sollehuddin Aziz dan Muhammad Najib Abd Rahman pula di posisi apit kanan manakala Iskandar Zaulkarnain Salim dan Sahidan Md Ali sebagai tekong pasukan.

"Saya percaya kehadiran pemain ini akan mewarnai kancah Divisyen Satu dan yakin mara ke perlawanan akhir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Melaka yang dikatakan akan menjadi satu daripada venue STL, Akramuddin yang juga Pemangku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan pihak penganjur.

"Sebelum ini, memang ada hasrat membawa STL ke Melaka tahun lalu tetapi disebabkan berlaku pergolakan politik Melaka dan setelah berbincang dengan penganjur mereka menawarkan kita pada Oktober depan.

"Venue sudah ada dan kalau dapat beraksi di MITC (Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka) nanti dan ini yang dijanjikan oleh penganjur untuk dijadikan satu daripada venue STL," katanya.