RFID: Rakyat perlu diberi pilihan

DPIM gesa kerajaan mengkaji secara keseluruhan isu penggunaan sistem teknologi RFID. - Gambar Hiasan (Gambar kecil: Shahir)
DPIM gesa kerajaan mengkaji secara keseluruhan isu penggunaan sistem teknologi RFID. - Gambar Hiasan (Gambar kecil: Shahir)
A
A
A

KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan mengkaji secara keseluruhan isu penggunaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dengan mengambil kira aspek kewangan isi rumah rakyat, demografi rakyat luar bandar dan di bandar.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, tidak dinafikan satu sistem tunggal adalah paling ideal bagi meningkatkan kecekapan semua pihak termasuklah pengguna lebuh raya itu sendiri.

“Namun adakah keputusan ini mengambil kira semua aspek. Bayangkan, kad Touch 'n Go boleh digunakan di mana-mana tanpa mengira berapa bilangan kenderaan bagi setiap isi rumah.

“Satu kad tersebut boleh dibawa di dalam poket pengguna ketika memandu mana-mana kenderaan. Bayangkan jika ada tiga kenderaan, maka tiga kenderaan perlu diletakkan RFID,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, kewangan isi rumah rakyat juga tidak seharusnya dibebankan dengan pembelian pelekat RFID kerana pengguna perlu membeli setiap pelekat dengan harga RM35, walaupun kos pelekat tersebut sekitar RM2 hingga RM3 sahaja.

Beliau berkata, bagaimana pula dengan Smart Tag yang telah digunakan dengan harga melebihi RM100, adakah pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) atau Touch 'n Go akan memberikan bayaran balik untuk setiap Smart Tag yang mahu dilupuskan.

“Kerajaan jangan membebankan rakyat dengan perkara kecil sebegini kerana dikhuatiri menjejaskan sokongan rakyat pada waktu getir sebegini.

“Seharusnya rakyat diberikan pilihan untuk kekal menggunakan Touch 'n Go dan RFID, sekiranya kajian menunjukkan RFID lebih cekap jika dibandingkan dengan Smart Tag," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laluan Touch 'n Go masih perlu untuk rakyat yang tidak mampu memberi pelekat mahal RFID dan juga bagi memberikan pilihan kepada penduduk luar bandar yang hanya jarang-jarang sekali menggunakan laluan tol.

“Kami berharap situasi ini tidak merumitkan pengguna lebuh raya, yang juga rakyat kita sendiri. Rakyat yang susah kita bantu. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang sebenar,” katanya.